Tun Dr Mahathir tidak bersetuju dengan gerakan memboikot produk keluaran bukan Bumiputera.
Perdana Menteri berkata, tindakan memboikot bukan satu ‘senjata’ yang berkesan (untuk menjatuhkan jualan sesuatu produk) dan hanya dilakukan oleh mereka yang berfikiran cetek.
“Mungkin ada orang yang cetek fikiran, yang buat benda yang semacam itu, tapi tidak berkesan, buat apa?,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di sini, hari ini.
Dr Mahathir seterusnya menasihatkan rakyat supaya tidak memboikot mana-mana produk sama ada ia keluaran Bumiputera atau bukan Bumiputera.
“Boikot ini satu senjata yang tidak berkesan, cuma timbul kemarahan sahaja. Jangan boikot barang siapa pun, Bumi (Bumiputera) ka bukan Bumi (bukan Bumiputera) ka,” katanya.
Mutakhir ini terdapat kempen dalam media sosial oleh segelintir pihak supaya memboikot barangan keluaran bukan Bumiputera dan membeli produk keluaran Bumiputera.
BERNAMA