Hanya seorang pesakit mendapatkan rawatan saringan di Klinik Kesihatan Masai berhubung masalah sesak nafas dan muntah-muntah setakat 4 petang ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar.
Menegaskan tiada pesakit dimasukkan ke wad, beliau berkata setakat ini keadaan di Pasir Gudang, yang terkesan akibat masalah pencemaran sejak 20 Jun lepas, adalah terkawal.
Tiada butiran lanjut diperoleh mengenai pesakit berkenaan.
“Secara keseluruhan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah menyiasat dan mengambil tindakan terhadap 221 premis industri mengikut kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Khuzzan berkata sehingga kini, 116 kompaun sudah dikeluarkan kepada premis berhubung kesalahan buangan terjadual, efluen perindustrian (10 kompaun), notis arahan bagi mematuhi segala perundangan alam sekitar (53 notis) serta kumbahan tangki septik (satu kompaun).
Sebanyak 11 premis industri diberi perintah tahan operasi manakala tiga premis lagi disyorkan untuk diambil tindakan mahkamah.
Mohd Khuzzan berkata dalam masa sama, pihak Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) turut memutuskan untuk melanjutkan tempoh pemantauan kualiti udara di 111 sekolah di Pasir Gudang, hari ini.
Beliau berkata susulan itu, JAS membuat penyerahan semula MultiRAE Gas Detector kepada pihak sekolah terbabit untuk digunakan sehingga 13 Julai.
Beliau menasihati orang ramai yang melihat atau mengesyaki sebarang aktiviti mencurigakan berkenaan pembuangan sisa toksik secara haram supaya membuat aduan kepada JAS di talian bebas tol 1800882727 atau melalui eaduan.doe.gov.my.
“Sebarang pertanyaan dan pengesahan maklumat, sila hubungi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang di talian 07-2513444 atau Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di talian 07-2511 024,” katanya.