Hanya 8 juta pencarum masih aktif KWSP berbanding 14.5juta yang daftar

Hanya 8 juta pencarum masih aktif KWSP berbanding 14.5juta yang daftar

Kerajaan diyakini akan membuat keputusan terbaik berhubung cadangan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan mengambil kira semua faktor sebelum Belanjawan 2021 dibentangkan esok.

Perkara itu disuarakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed, ketika diminta mengulas berhubung perkara itu.

Jelasnya, ada perkara yang senang untuk dipertimbangkan oleh kerajaan, namun sesetengah perkara perlu diteliti dengan lebih terperinci.

“Isu pengeluaran KWSP menjadi topik hangat sejak dua minggu lalu dan kerajaan menerima banyak tuntutan.

“Perdana menteri pun sudah memberi sedikit gambaran semalam. Boleh lihat esok apa pengumuman yang dibuat.

“Kita tahu masa depan bukan mudah untuk pastikan kita ada simpanan mencukupi dan kerajaan perlu melihat jalan terbaik kerana kita sedia maklum rakyat terhimpit dan kerajaan mesti melihat perkara itu,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, kerajaan bersetuju untuk mengkaji saranan pengeluaran simpanan dalam Akaun 1 KWSP bagi membantu rakyat yang berdepan kesusahan dan benar-benar memerlukan.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata, perkara membabitkan KWSP sememangnya isu panas yang dibangkitkan pelbagai pihak dan kumpulan yang meminta kerajaan menimbangkan supaya pencarum KWSP boleh mengeluarkan simpanan daripada Akaun 1.

Sementara itu Mustapa yang juga dikenali sebagai Tok Pa berkata, KWSP mempunyai dua akaun iaitu satu akaun persaraan ketika 55 tahun dan akaun kedua boleh dikeluarkan untuk pembelian rumah dan pendidikan.

Namun katanya, isunya kira-kira 70 peratus yang menyimpan mempunyai simpanan kurang RM50,000 dan ianya satu peratusan amat besar.

“Setakat ini KWSP mempunyai keahlian seramai 14.5 juta namun yang masih mencarum hanya 8 juta saja.

“Ia adalah simpanan hari tua dan memandangkan jangka hayat kita semakin panjang panjang, ia perlukan wang mencukupi untuk hari tua. Disebabkan itu kita harus mempunyai jumlah duit yang mencukupi,” katanya.

Mengulas mengenai pembentangan Belanjawan 2021 esok katanya, semua ahli Parlimen diharap memberi sokongan penuh agar ia diluluskan.

“Setakat ini Alhamdulillah suasana dewan terkawal dan matang, semua pihak sedar kita berdepan dengan pandemik Covid-19.

“Jadi kita harap Belanjawan 2021 diluluskan dengan sokongan semua ahli parlimen,” katanya yang juga anggota Parlimen Jeli.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/549500

COMMENTS