Hanya 42 peratus daripada 5.85 juta hektar sawit negara memiliki MSPO – Teresa Kok

Hanya 42 peratus daripada 5.85 juta hektar tanaman sawit di negara ini telah mencapai tahap Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) sehingga 30 Jun lepas, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok.

Beliau berkata jumlah itu masih rendah untuk mencapai sasaran 100 peratus industri sawit mempunyai sijil MSPO berikutan tempoh permohonan MSPO secara percuma tamat menjelang hujung tahun ini.

“Kalau kita tidak usahakan pelaksanaan MSPO sekarang bagaimana kita berdebat (mengenai penanaman sawit mampan) dengan negara Eropah dan WTO (Pertubuhan Perdagangan Sedunia), susah bagi kita.

“Oleh sebab itu pegawai kementerian turun padang untuk memberi kesedaran kepada penanam sawit supaya mendapatkan MSPO melalui insentif yang dibayar oleh kerajaan tetapi untuk tahun ini sahaja,” katanya kepada pemberita selepas taklimat MSPO bersama penanam sawit, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Kok dipetik sebagai berkata Malaysia akan mengemukakan aduan kepada WTO pada November untuk mencabar larangan penggunaan bahan api berasaskan minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU).

Dalam pada itu, Kok berkata kerajaan juga membantu penanam kecil sawit melalui skim pinjaman dengan faedah serendah dua peratus bagi penanaman semula sawit dan hanya dibayar balik bermula pada tahun keempat selepas sawit mengeluarkan hasil.

Beliau berkata usaha sedang dipergiatkan bagi meningkatkan jumlah pekebun kecil persendirian melalui Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) untuk melaksanakan MSPO.

Di Sabah, katanya daripada 223,000 hektar tanaman sawit hanya 10,300 hektar atau 47 peratus mempunyai sijil MSPO.

“Di Sabah, 26 daripada 29 SPOC telah mendapat MSPO melibatkan seramai 2,188 pekebun kecil,” katanya.

BERNAMA