Hannah sanggah wanita MCA, belajar karate bukan jalan selesai keganasan rumah tangga

Hannah sanggah wanita MCA, belajar karate bukan jalan selesai keganasan rumah tangga

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh membidas cadangan Wanita MCA untuk menganjurkan kursus karate sebagai persediaan bagi wanita mengelak diri mereka menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Merujuk kepada cadangan Ketua Wanita MCA Heng Seai Kie, Yeoh bertanya, adakah tidak ada cara lagi untuk kerajaan Perikatan Nasional dapat bertindak dengan betul bagi menguruskan sesuatu isu.

“Boleh tak kerajaan PN ini buat apa-apa kerja dengan betul? Saya pun ada (mendapat) latihan pertahanan diri (satu peringkat lagi nak dapat tali pinggang hitam), tapi saya tak syorkan penyelesaan macam ni. Tolong dapatkan bantuan profesional,” katanya di Facebook.

Dalam ucapannya di perhimpunan agung Wanita MCA hari ini, Heng dipetik sebagai berkata Wanita MCA akan akan mengadakan kursus karate secara maya bagi meningkatkan keupayaan mempertahankan diri golongan wanita daripada menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Katanya kelas karate antikeganasan itu akan dilakukan dengan kerjasama Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) dan sayap wanita pelbagai pertubuhan Cina.

Ia diajar secara percuma dan maya pada pada 12 hingga 20 Mac ini.

“Tidak melawan bukan lagi sifat yang baik, sebaliknya berani melawan mampu menakutkan pemangsa untuk berhenti mengganas malah bertaubat,” kata Heng.

Menurut Yeoh, MCA ternyata bukanlah mahir mengendalikan isu keganasan rumah tangga.

Bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu menegaskan isu keganasan rumah tangga bukan saja disasarkan ke atas wanita, malah ada juga lelaki yang menjadi mangsa.

Katanya ia juga tidak terhad kepada kalangan pasangan suami isteri dan turut melibatkan kanak-kanak dan warga emas.

Tambahnya, memberikan cadangan yang salah untuk masalah keganasan rumah tangga boleh membahayakan nyawa mangsa.

Dengan memberikan cadangan sedemikian juga, kata Yeoh, memberikan petanda jelas bahawa Wanita MCA gagal memahami isu keganasan rumah tangga.

“Ini petanda sangat jelas bahawa Wanita MCA gagal memahami keganasan rumah tangga dan cabaran yang dihadapi dalam situasi berkenaan.

“Memberikan penyelesaian yang salah kepada satu masalah serius seperti keganasan rumah tangga boleh menyebabkan kecederaan parah dan kehilangan nyawa.

“Saya hilang kata-kata. Kerajaan PN ini mesti diketepikan,” katanya lagi.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/565558