Hamid Bador tidak beretika, tiada adab dan mengaibkan pemimpin politik – Shahidan

Hamid Bador tidak beretika, tiada adab dan mengaibkan pemimpin politik – Shahidan

Dakwaan Tan Sri Abdul Hamid Bador bahawa wujud campur tangan politik dalam pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), dianggap hanya memburukkan imej peribadi beliau sebagai pemimpin nombor satu badan beruniform selain mencemarkan nama baik PDRM.

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata dakwaan Ketua Polis Negara itu juga disifatkan sebagai tidak beretika, tiada adab dan mengaibkan pemimpin politik serta kerajaan.

Justeru, Ahli Parlimen Arau itu, mencadangkan supaya Abdul Hamid disiasat kerana mengeluarkan dakwaan yang melanggar Akta Polis, iaitu tanpa fakta dan bukti.

“Sebagai penjawat awam dan ketua pasukan, mana boleh Abdul Hamid membuat kenyataan seperti itu, malah mengikut akta, beliau kena bertanggungjawab kepada Menteri, tetapi kalau dia boleh komen secara terbuka macam dilakukannya, apa akan jadi dengan negara ini.

“Tugas polis adalah menjaga keamanan dengan baik, menjadi anggota polis terbaik dan mewujudkan situasi aman, tetapi cara dia membuat tuduhan melulu seperti itu mencetuskan pemikiran yang boleh menyebabkan masalah keamanan.

“Malah sebagai Ketua Polis, beliau tidak sepatutnya memberi pandangan sampai ke tahap di luar bidang kuasanya dan beliau harus ingat, polis berperanan mencari fakta dan membawa benda itu diketengahkan, bukan melalui tuduhan tanpa bukti,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.

Jumaat lalu, Abdul Hamid mengadakan sidang akhbar terakhirnya sebelum menamatkan perkhidmatan pada 3 Mei yang menyaksikan beliau ‘menyerang’ Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dengan mendakwa pemimpin politik campur tangan dalam perlantikan pegawai kanan polis sehingga menjejaskan keharmonian PDRM.

Shahidan berkata, perkara perlu diutamakan adalah bukan mengkritik ahli politik, sebaliknya memahami golongan itu memainkan peranan meluas dalam pentadbiran negara, termasuk penggubalan undang-undang sedia ada, membabitkan keperluan penjawat awam.

Ahli politik, katanya, dipilih berlandaskan demokrasi dan mereka akan menguruskan tanggungjawab selepas memenangi pilihan raya menerusi kepercayaan diberikan.

“Justeru jika golongan pemimpin ini sentiasa dikritik, dipandang buruk dan dianggap tidak tahu mentadbir, bagaimanakah kesan akan dihadapi mereka serta negara, malah siapa lebih layak memikul tanggungjawab pentadbiran, adakah pegawai kerajaan yang undang-undang mereka juga dibuat ahli politik,” soalnya.

Mengulas mengenai amalan melompat parti ahli politik seperti dakwaan Abdul Hamid, Shahidan menegaskan tindakan itu tidak boleh dipertikaikan secara berlebihan kerana Malaysia tiada akta melarang mereka berbuat demikian.

Ditanya berhubung pandangan segelintir pihak bahawa kemungkinan dakwaan itu berpunca daripada perasaan tidak berpuas hati Abdul Hamid kerana kontrak perkhidmatannya sebagai Ketua Polis Negara tidak disambung, Shahidan enggan membuat sebarang tuduhan.

“Saya tak nak terlibat dengan syak wasangka, saya tak boleh, saya tak tahu, mungkin dia pun memang sudah tidak fikir nak jawatan apa-apa,” katanya.

Pada masa sama, Shahidan berkata, sepatutnya Abdul Hamid menamatkan perkhidmatannya dalam keadaan baik, bukan mencetuskan ‘kontroversi’ dengan melemparkan pelbagai tuduhan secara terbuka kepada menteri yang turut memburukkan imej PDRM.

“Patutnya di saat-saat terakhir perkhidmatannya, beliau minta maaf dan bertaubatlah, ini cari peluang bertambah gaduh pula, malah Abdul Hamid sepatutnya tidak boleh mendorong orang lain untuk berfikir sepertinya dengan memburukkan pihak berkaitan, justeru menteri yang dituduhnya boleh mengambil tindakan undang-undang kerana dakwaan itu mengaibkan.

“Ya lah memang orang boleh kata tidak mengapalah, kita lebih kurang sahaja bulan puasa, tetapi sekiranya tidak diambil tindakan akan menggalakkan penjawat awam buat begini, ‘hentam’ orang politik atau kerajaan, ini pastinya sesuatu yang tidak bagus.

“Abdul Hamid tidak perlu menegur Menteri seperti itu kerana beliau sendiri ada banyak kes belum diselesaikan, termasuk kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Kenapa kes itu beliau tidak tegur secara terbuka, kes dia itu perlu disiasat, jadi di sini saya nak tanya kepada beliau, adakah berpuas hati setelah beliau berkhidmat begitu lama, apakah berlaku keadilan membabitkan kes ini dan apa berlaku kes Adib,” katanya.

Sumber : http://www.pnbbcportal.com/2021/05/02/shahidan-cadang-hamid-disiasat-ekoran-kenyataan-langgar-akta-polis/?fbclid=IwAR1XvlTmeiP-xV9dpRaQBDkZ8sUMb324Q4xrbGhmC18ywU0pXiSebrzNhew