Hadi terus membisu, AMANAH jawab 21 dakwaan surat Hadi

Setelah lebih seminggu desakan agar pihak YB Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang menafikan surat beliau kepada gerakan gerakan Islam bertarikh 22 Mac 2020 yang mengandungi terlalu banyak tuduhan-tuduhan yang tidak benar, maka hari ini Biro Politik, Parti Amanah Negara (AMANAH) terpaksa mengeluarkan jawapan-jawapan terhadap tuduhan-tuduhan tersebut.

Dakwaan 1 :

DS Abdul Hadi menulis bahawa British telah meletakan syarat kemerdekaan dengan menerima kaum bukan bumiputera sebagai rakyat dan kemudiannya dibawa solusi solusi dari luar yang dipaksakan ke atas umat Islam dalam bentuk ideologi ideologi sekuler yang mengakibatkan tidak terbangunnya sebuah kerajaan yang kuat untuk menjaga kedaulatan umat Islam di negara sendiri.

Jawapan AMANAH :

UMNO adalah parti yang mesra terhadap polisi-polisi penjajah British. Abdul Hadi sendiri di dalam tulisannya bertarikh 5 Mac 2013 menyatakan bahawa pada saat parti-parti yang tidak mesra British diharamkan seperti Hizbul Muslimin dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), penjajah British membenarkan UMNO bergerak dengan bebas di seluruh negara pada masa darurat di tahun 1948.

Selepas itu UMNO diberi kuasa mentadbir Malaysia oleh British bagi menyambung sebahagian dasar dasar British. Selepas 63 tahun memerintah, UMNO dan Barisan Nasional (dahulunya Perikatan) telah ditolak rakyat dalam pilihanraya ke-14 (2018) yang lalu.

Malangnya pada hari ini, PAS telah memberi nyawa kepada UMNO dengan bekerjasama atas nama Muafakat Nasional untuk mengangkat UMNO kembali memerintah negara pada hari ini dalam keadaan para pemimpin UMNO terpalit dengan pelbagai skandal rasuah dan penyelewengan.

Dakwaan 2 :

DS Abdul Hadi menulis akan kebimbangan bahawa keputusan Pilihanraya Umum 2018 memihak kepada majoriti Non Muslim dalam Pakatan Harapan.

Jawapan AMANAH :

Kemenangan calon calon non Muslim adalah melalui pilihanraya dan mereka menang di kawasan majoriti non Muslim mengalahkan calon-calon non Muslim daripada parti kerajaan sebelumnya iaitu Barisan Nasional seperti MCA, MIC dan Gerakan.

Tidak ada satu pun calon calon non Muslim daripada Pakatan Harapan memenangi kerusi yang ditandingi oleh calon Muslim. Bahkan terdapat calon-calon Muslim Pakatan Harapan berjaya memenangi kerusi yang ditandingi calon non Muslim daripada Barisan Nasional. Contohnya Parlimen Kuantan yang dimenangi calon PKR, Fuziah Saleh yang mengalahkan calon calon MCA (BN). Begitu juga Parlimen Tanjung Piai, calon Pakatan Harapan Dr Mohamed Farid Md Rafik berjaya menewaskan calon MCA (BN) Wee Jeck Seng.

Adakah Abdul Hadi akan menyuarakan kebimbangan yang sama jika majoriti calon non Muslim yang menang itu daripada MCA dan MIC yang hari ini bekerjasama dengan mereka? Tindakan Abdul Hadi mempertikaikan kemenangan calon calon non Muslim melalui pilihanraya menunjukkan sikap beliau yang tidak menghormati proses demokrasi

Dakwaan 3 :

DS Abdul Hadi menulis bahawa majoriti bukan Islam yang memenangi pilihanraya dalam Pakatan Harapan telah mempergunakan Tun Dr Mahathir untuk menjatuhkan Najib Razak kerana usia Tun Mahathir yang lanjut dan partinya yang lemah dan dipergunakan sebagai anak tangga untuk menaiki tampuk pemerintahan secara helah.

Jawapan AMANAH :

Dakwaan Abdul Hadi ini merupakan satu penghinaan terhadap Tun Dr Mahathir apabila menganggap negarawan yang pernah memerintah negara selama 22 tahun sebelum ini dengan mudah diperalat dengan helah. Ia bukan sesuatu yang pelik kerana sebelum pilihanraya 2018 yang lalu, Abdul Hadi kerap menghina Tun Mahathir dengan menyuruh beliau meninggalkan politik dan hanya layak menjadi doktor di Klinik 1 Malaysia (Klinik kecil peringkat komuniti) sahaja.

Tun Mahathir dalam temubualnya dalam akhbar Sinar Harian bertarikh 9 Mac 2020, mengatakan bahawa DAP yang disebut sebagai parti majoriti bukan Islam tersebut lebih banyak mengikut keputusan beliau dalam kerajaan. Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Kewangan Lim Guan Eng lebih banyak mengikut telunjuk beliau (Tun Mahathir) dan kata Tun Mahathir lagi banyak tindakan yang Guan Eng lakukan tidak menunjukkan beliau anti Melayu.

Tambah beliau lagi, banyak dasar dasar baru khususnya dalam Belanjawan 2020, semuanya diserahkan kepada beliau sebagai Perdana Menteri dan penasihat penasihat beliau untuk disemak. Guan Eng juga kata Mahathir telah memberikan bantuan kewangan sebanyak RM400 juta kepada kerajaan Kelantan dan RM200 juta masing masing kepada kerajaan Terengganu dan Kedah yang majoritinya berbangsa Melayu beragama Islam walaupun Kelantan dan Terengganu diperintah oleh PAS. Ini menujukkan negeri majoriti Melayu Islam sentiasa diberi keutamaan oleh Kementerian Kewangan.

Dalam wawancara tersebut, Tun Mahathir juga pelik dengan sikap PAS yang tidak mengotakan janji yang kononnya memberi sokongan kepada beliau kekal sebagai Perdana Menteri, tetapi apabila bertemu Yang Dipertuan Agung, PAS telah menamakan orang lain (Muhyiddin Yasin). Malah Kata Tun Mahathir, beliau sehingga hari ini tidak berpuas hati dengan PAS yang mempergunakan agama untuk kepentingan politik dan PAS belum menggugurkan pendapat bahawa orang bukan PAS sebagai tidak Islam.

Dakwaan 4 :

DS Abdul Hadi menulis bahawa PAS telah mengambil pendirian untuk menjadi Blok Ketiga dalam pilihanraya yang lalu dengan menolak untuk menyertai Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

Jawapan AMANAH :

Umum mengetahui walaupun PAS tidak menyertai Barisan Nasional secara langsung, tetapi mereka telah menjalankan kerjasama belakang tabir dengan UMNO Barisan Nasional. Perkara ini diakui oleh pimpinan PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dalam satu taklimat kepada sekitar 40 pimpinan muda PAS sebelum pilihanraya yang lalu sebagaimana yang didedahkan rakaman audionya.

Abduh mengakui bahawa PAS telah menerima sumbangan kewangan daripada UMNO. Jika kita lihat pilihanraya yang lalu, PAS telah meletakkan calon di lebih 150 kerusi parlimen bertujuan untuk memberi kemenangan kepada UMNO Barisan Nasional dengan memecahkan undi blok pembangkang (Pakatan Harapan) ketika itu.

Dakwaan 5 :

DS Abdul Hadi mendakwa bahawa Parti Tindakan Demokratik (DAP) mempunyai keanggotaan majoriti Cina beragama Kristian dan saki baki Parti Komunis yang telah diharamkan.

Jawapan AMANAH :

Dakwaan Hadi tersebut adalah tidak benar. Sebagaimana didedahkan oleh Wan Hamidi Hamid, Editor Roketkini media rasmi DAP, bahawa rekod DAP hanya 10 peratus anggotanya beragama Kristian. Manakala lebih 50 peratus beragama Buddha dan bakinya pelbagai agama termasuk beragama Islam.

Parti DAP adalah parti berbilang kaum dan ada diantara ahli parlimen dan adunnya yang memenangi pilihanraya beragama Islam.

Menuduh DAP adalah saki bagi Parti Komunis adalah satu fitnah. Ini kerana adalah fakta sejarah bahawa DAP adalah lahir dari parti PAP pimpinan Lee Kuan Yew selepas Singapura keluar dari Malaysia pada 1965. PAP sejak dulu terkenal sebagai parti yang sangat anti komunis. Parti Komunis Malaya (PKM) sendiri telah di haramkan sejak sekian lama di Malaysia. Jika benar DAP adalah saki baki Komunis, mengapa ia tidak diharamkan seatelah lebih 50 tahun bertapak di Malaysia. Oleh itu tiada sebarang bukti diberikan oleh Abdul Hadi bagi menyokong dakwaan beliau tersebut.

Dakwaan 6 :

DS Abdul Hadi mendakwa bahawa Parti Amanah Negara (AMANAH) berorentasikan Islam Liberal-Sekuler dan dibentuk oleh Anwar Ibrahim dan Pimpinan DAP.

Jawapan AMANAH :

Dakwaan AMANAH berorentasikan Islam Liberal-Sekuler adalah tuduhan buruk yang sememangnya menjadi kebiasaan Abdul Hadi sejak tahun 1980-an lagi memberikan gelaran dan hukum yang buruk kepada lawan politiknya dengan memperalatkan agama.

Namun apabila musuh politik itu bersama dengan mereka, maka dakwaan buruk tersebut tidak kedengaran lagi. Inilah yang berlaku kepada UMNO yang dahulunya digelar parti sekuler yang mempertahankan perlembagaan penjajah, tetapi hari ini mereka bekerjasama rapat dengan UMNO. Begitu juga Ketika PAS bekerjasama dengan DAP daripada tahun 1999 hingga 2013, segala tuduhan buruk terhadap DAP akan dibersihkan oleh PAS berbanding Ketika tidak bersama dengan PAS.

Sejarah penubuhan AMANAH mesti dibaca bersekali dengan sejarah perkembangan PAS pasca pilihanraya 2008 sehinggalah 2015. Ketika itu wujud usaha dalaman dikalangan segelintir pimpinan PAS untuk menjalankan kerjasama dengan UMNO dengan memperalatkan idea kerajaan Perpaduan.

Kerjasama ini membelakangkan keputusan Muktamar PAS 2008 di Ipoh yang memutuskan PAS kekal bekerjasama dengan Pakatan Rakyat yang ketika itu disertai oleh PKR dan DAP dan memerintah lima buah negeri iaitu Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Perkara ini diulang beberapa kali oleh bekas Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menentang kelompok yang cuba membawa PAS bekerjasama dengan UMNO. (Rujuk ucapan pergulungan Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam Muktamar PAS tahun 2009 di Shah Alam).

Tindakan ini membawa pemecatan dan gantung keahlian terhadap dua pimpinan kanan PAS, Nasharudin Mat Isa (Timbalan Presiden PAS) dan Dr Hasan Mohamad Ali (Bekas Naib Presiden PAS) yang dikaitkan dengan kerjasama tersebut. Namun selepas pemecatan mereka, usaha untuk membawa PAS bekerjasama dengan UMNO terus dijalankan oleh saki baki pimpinan yang ada. Ia membawa penentangan oleh majoriti Ahli Jawatankuasa PAS Pusat kerana tidak pernah wujud perbincangan dan keputusan mesyuarat PAS Pusat untuk bekerjasama dengan UMNO.

Rentetan itu, berlaku tentangan terbuka terhadap pimpinan pimpinan PAS yang mempertahankan keputusan muktamar PAS agar terus bekerjasama dengan Pakatan Rakyat. Mereka digelar dengan pelbagai gelaran gelaran buruk termasuk dihukum munafik oleh sebahagian asatizah PAS yang menolak keputusan Muktamar tersebut. Akibat kempen kotor menggunakan sentimen agama tersebut, kelompok ini dikalahkan dalam pemilihan PAS tahun 2015.

Mengambil sikap untuk terus bekerjasama dengan Pakatan Rakyat dan menolak kerjasama dengan UMNO yang telah melakukan kerosakan dalam negara, 18 orang bekas pimpinan PAS ini telah menubuhkan Parti Amanah Negara (AMANAH) sebagai sebuah parti Islam yang menjadikan Islam Rahmat Untuk Semua sebagai dasar parti dan menyertai pakatan pembangkang yang kemudiannya dinamakan Pakatan Harapan untuk kekal menentang kerajaan UMNO Barisan Nasional.

Penubuhan AMANAH bermula dengan satu mesyuarat khas di Muar Johor yang dihadiri oleh 18 bekas pimpinan PAS Pusat dan ratusan pimpinan PAS diperingkat negeri dan kawasan. Keputusan mesyuarat tersebut memutuskan agar ditubuhkan Parti Islam baru menggantikan PAS yang telah keluar Pakatan Rakyat dan cenderung bekerjasama dengan UMNO. Maka berlakulah beberapa mesyuarat lagi selepas itu di Intekma Shah Alam dan di Hotel Vistana Kuala Lumpur yang dihadiri oleh semua bekas pimpinan PAS tersebut. Dakwaan Abdul Hadi bahawa Anwar dan DAP yang menubuhkan AMANAH adalah satu tuduhan yang tidak benar dan tidak pernah dibuktikan sama sekali sehingga ke hari ini.

Tuduhan Abdul Hadi yang mengaitkan AMANAH dengan faham liberal juga terbukti sebagai fitnah memandangkan Perlembagaan AMANAH sendiri selaku undang-undang tertinggi parti secara terang-terangan meletakkan dasar dan tujuan AMANAH adalah untuk “Memartabat dan menegakkan Islam sebagai dasar perjuangan”.

Dakwaan 7 :

DS Abdul Hadi mendakwa wujudnya usaha dalaman untuk mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan mengenepikan Tun Dr Mahathir oleh PKR, DAP dan AMANAH. Beliau juga mendakwa perjanjian untuk melantik Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri hanya perjanjian sementara secara lisan sahaja dan tanpa persetujuan Tun Mahathir.

Jawapan AMANAH :

Menamakan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kelapan selepas Tun Dr Mahathir Muhamad adalah muafakat bertulis Pakatan Harapan yang ditandatangani oleh lima tokoh iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad (Pengerusi Pakatan Harapan), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Presiden PKR), Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden PPBM), Mohamad Sabu (Presiden AMANAH) dan Tan Kok Wai (Pengerusi DAP) dan diistiharkan oleh Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Dato Saifuddin Abdullah dalam Konvensyen Pakatan Harapan di IDCC Shah Alam pada 6 Januari 2018.

Muafakat bertulis ini bukanlah dokumen rahsia kerana ianya dihebahkan kepada umum dan menjadi antara bahan kempen utama Pakatan Harapan dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke 14.

Tun Dr Mahathir juga beberapa kali menyebut bahawa beliau akan menyerahkan kuasa kepada Anwar. Perbincangan tarikh peralihan kuasa kepada Anwar juga dilakukan dalam mesyuarat Pakatan Harapan yang dipengerusikan oleh Tun Dr Mahathir sendiri dan akhirnya semua bersepakat dengan keputusan menyerahkan kepada Tun Mahathir menentukan tarikh peralihan kuasa tersebut.

Aneh apabila Abdul Hadi membuat tuduhan ianya usaha dalaman dan tidak dipersetujui sedangkan majoriti rakyat Malaysia mengetahuinya melalui media media utama negara pada 7 Januari 2018.

Dakwaan 8 :

DS Abdul Hadi mendakwa bahawa usaha menaikkan Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri disokong Amerika Syarikat, Eropah, Singapura, Zionis Israel dan Freemason serta wujudnya campur tangan duta-duta Barat.

Jawapan AMANAH :

Ia satu tuduhan yang sangat buruk yang tidak pernah dibuktikan oleh beliau. Apatah lagi kenyataan sebegini datang dari seorang yang baru sahaja dilantik oleh kerajaan sebagai Duta Khas Perdana Menteri bertaraf Menteri yang secara semberono membuat tuduhan yang sangat serius seolah-seolah negara-negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia seperti Amerika, Singapura dan EU cuba campur tangan dalam urusan dalaman Malaysia. Oleh itu kami mendesak DS Abdul Hadi mengemukakan bukti negara-negara yang disebut dibelakang usaha menaikkan Anwar Ibrahim.

Sebaliknya wujud pengakuan pimpinan PAS sebelum pilihanraya yang lalu iaitu Nik Abdul Nik Aziz bahawa beliau bekerjasama dengan agensi perisikan Amerika CIA. Perkara ini tidak dinafikan oleh beliau sehingga ke hari ini.

Dakwaan 9 :

DS Abdul Hadi mendakwa bahawa Pakatan Harapan menolak pegangan Tun Mahathir yang menolak berbaik baik dengan Barat dan ketegasan pandangan beliau dalam isu Palestin, Kashmir, Myanmar dan Uyghur.

Jawapan AMANAH :

Tidak ada seorang pun Menteri Kabinet Pakatan Harapan yang membantah ketegasan Tun Mahathir khususnya bersuara di dua kali Sidang Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) membela nasib rakyat Palestin, Kashmir, Rohingnya dan negara negara yang tertindas. Malah kesemua anggota kabinet berbangga dengan tindakan Tun Mahathir. Bukan sekadar Tun Dr Mahathir, malah beberapa Menteri kabinet yang lain juga menyuarakan isu isu tersebut atas kapasiti masing masing.

Antaranya Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang membangkitkan isu Rohingnya dan Palestin dalam ucapan beliau di Asean Defence Ministers Meeting Plus (ADMM Plus) dan beberapa persidangan lain di peringkat antarabangsa.

Malah dalam tempoh hampir dua tahun pemerintahan Pakatan Harapan, Malaysia muncul sebagai negara umat Islam yang lantang di pelbagai platform antabangsa bagi membangkitkan isu-isu penindasan ke atas ummat Islam di seluruh dunia. beberapa pimpinan utama pejuang Palestin seperti Khalid Masy’al dan dan Ismail Haniyeh telah hadir ke Malaysia bertemu dengan Perdana Menteri dan Menteri Menteri kabinet pelbagai parti termasuk Anwar Ibrahim, PKR, AMANAH dan DAP yang menyokong perjuangan Palestin.

Malah, dalam Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit) yang diadakan pada 18 Disember 2019, dan Persidangan Ahli Ahli Parlimen Antarabangsa Untuk Palestin yang diadakan di Kuala Lumpur, ianya mendapat sokongan kabinet dan ahli ahli parlimen PKR, DAP dan AMANAH terlibat secara langsung. Dakwaan Abdul Hadi tersebut adalah fitnah yang sangat buruk tanpa sebarang bukti dikemukakan.

Dakwaan 10 :

DS Abdul Hadi menulis bahawa PAS telah keluar pakatan pembangkang (Pakatan Rakyat) yang disertainya sejak tahun 1999 hingga 2012.

Jawapan AMANAH :

PAS menyertai pakatan pembangkang melibatkan tiga parti iaitu PAS, PKR dan DAP bermula tahun 1999 atas nama Barisan Alternatif (BA) sehingga pilihanraya 2004. Kemudian bersambung dengan penubuhan Pakatan Rakyat (PR) selepas ketiga parti memenangi 5 buah negeri dalam pilihanraya tahun 2008. PAS sekali lagi menyertai pilihanraya bersama PR pada tahun 2013. PAS meninggalkan Pakatan pembangkang tersebut pada tahun 2015, bukannya 2012.

Dakwaan 11 :

DS Abdul Hadi mendakwa bahawa PAS pernah berada dalam Blok Barisan Nasional pada 1973-1979.

Jawapan AMANAH :

Fakta sebenarnya, PAS menyertai Perikatan yang dinamakan semula sebagai Barisan Nasional daripada tahun 1973 hingga 1978.

Dakwaan 12 :

DS Abdul Hadi mendakwa bahawa jumlah ahli parlimen Muslim samada dipihak kerajaan dan pembangkang tidak mencapai majoriti di parlimen.

Jawapan AMANAH :

Dakwaan Abdul Hadi ini sangat mengelirukan. Ini kerana ahli parlimen Malaysia beragama Islam berjumlah 140 orang berbanding 82 orang yang bukan Islam. Ia membentuk 63 peratus iaitu satu jumlah yang majoriti. Selain itu seramai 13 orang ahli parlimen UMNO beragama Islam telah keluar UMNO dan menyertai PPBM menjadikan jumlah ahli parlimen beragama Islam di dalam Pakatan Harapan sebelum kejatuhan kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir adalah melebihi jumlah ahli parlimen bukan Islam iaitu berjumlah 73 orang berbanding ahli parlimen yang bukan Islam seramai 64 orang sahaja.

Walaupun begitu beberapa keputusan besar kerajaan yang perlu melibatkan kelulusan parlimen, maka undian akan dilakukan oleh kesemua ahli ahli parlimen kerajaan dan pembangkang yang pastinya 63 peratusnya beragama Islam.

Jadi dakwaan ahli parlimen Muslim minoriti adalah tidak benar sama sekali.

Dakwaan 13 :

DS Abdul Hadi mendakwa bahawa pihak Polis dan Tentera bimbang kemasukan non Muslim dan Muslim liberal ke dalam kerajaan baru yang cuba untuk lemahkan kedudukan Islam dan kaum bumiputera.

Jawapan AMANAH :

Pertamanya adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab mendakwa pihak berkuasa polis dan tentera yang sikap mereka berkecuali dalam politik terlibat sama menyokong dakwaan politik beliau.

Keduanya, sebarang kebimbangan yang wujud hanya dicetuskan oleh PAS dan UMNO yang membuat dakwaan dakwaan tidak benar dengan menuduh pihak lain khususnya dalam kerajaan yang beragama Islam sebagai kurang keIslaman atau sesat dengan gelaran liberal dan lain lain gelaran buruk. Kebimbangan hanya dicetuskan oleh PAS dan UMNO bagi memburukkan kerajaan.

Dakwaan 14 :

DS Abdul Hadi mendakwa bahawa usaha melemahkan Islam, orang Islam dan kaum bumiputera telah dilakukan oleh ahli ahli parlimen kerajaan dengan cubaan meminda perlembagaan, mengubah sistem pembelajaran dan pengajaran serta media masa. Maka PAS mengambil tindakan bekerjasama dengan Tun Mahathir bagi menghalang pindaan perlembagaan tersebut.

Jawapan AMANAH :

Tidak ada sebarang pindaan atau usaha meminda perlembagaan berkait Islam dan Bumiputera sepanjang 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan. Yang ada ialah usaha meminda perlembagaan untuk meletakkan negeri Sarawak dan Sabah sebagai wilayah yang sama taraf dengan Semenanjung, bukan sekadar negeri. Namun pindaan ini gagal kerana ditolak pembangkang termasuk PAS.

Sebaliknya yang berlaku ialah kerajaan PH sepaqnjang 22 bulan pemerintahan berusaha gigih bagi memperkasakan system pentadbiran undang-undang Islam dan mahkamah syariah melalui pelbagai inisiatif antaranya penggubalan Akta Profesyen Guaman Syarie 2019 dan penubuhan Mahkamah Khas Hadhanah & Nafkah bagi membantu wanita Islam.

Keduanya untuk meminda perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga ahli parlimen yang semestinya memerlukan sokongan pembangkang juga. Maka mustahil akan berlaku pindaan perlembagaan tanpa sokongan pembangkang.

Ketiganya, pindaan perlembagaan yang melibatkan Islam sebagai agama Persekutuan dan kaum Bumiputera, mestilah mendapat perkenan Majlis Raja Raja. Maka satu pembohongan mendakwa ahli ahli parlimen kerajaan berusaha untuk meminda perlembagaan berkait Islam dan bumiputera kerana ia tidak boleh berlaku sama sekali tanpa majoriti dua pertiga dan sokongan Majlis Raja Raja. Ia adalah fitnah daripada PAS.

Dakwaan 15 :

DS Abdul Hadi mendakwa bahawa PAS berjaya menganjurkan Himpunan Penyatuan Ummah dengan kehadiran seramai dua juta orang.

Jawapan AMANAH :

Himpunan Penyatuan Ummah bukanlah himpunan dua juta umat Islam Malaysia, tetapi ia adalah himpunan politik menyatukan UMNO dan PAS atas nama Muafakat Nasional. Kebanyakan media menyiarkan ‘ribuan’ orang hadir himpunan tersebut. Paling tinggi ciapan Najib Razak di tweeter beliau bahawa himpunan itu dihadiri 25 ribu orang. Oleh itu dakwaan dua juta hadir di lokasi tersebut sangat jauh daripada benar.

Dakwaan 16 :

DS Abdul Hadi mendakwa bahawa beberapa pihak termasuk Parti Bersatu telah menganjurkan Kongres Maruah Melayu dan Tun Mahathir sendiri hadir sebagai perasmi.

Jawapan AMANAH :

Dakwaan Abdul Hadi ini rentetan dakwaannya sebelum ini yang seolah olah memberi gambaran bahawa orang Melayu perlu bersatu disebabkan ancaman daripada pihak lain.

Namun terbukti dalam ucapan Tun Dr Mahathir ketika merasmikan Kongres tersebut, beliau menempelak tabiat menyalahkan kaum lain diatas kemunduran bangsa sendiri dan beliau menekankan keperluan bangsa Melayu untuk berubah sendiri untuk menjadi lebih baik dengan meninggalkan tabiat tabiat tidak baik yang merencatkan kemajuan mereka.

Dakwaan 17 :

DS Abdul Hadi mendakwa penglibatan PAS dalam menukar kerajaan baru baru ini melalui proses demokrasi.

Jawapan AMANAH :

PAS tidak menghormati demokrasi apabila bersekongkol menumbangkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat dalam pilihanraya. Gabungan parti Barisan Nasional telah ditolak oleh rakyat dalam pilihanraya yang lalu.

Oleh itu persekongkolan PAS dengan UMNO melakukan pelbagai helah bersama dengan sekumpulan ahli parlimen Pakatan Harapan yang melompat keluar daripada pakatan yang telah memberi kemenangan kepada mereka dalam pilihanraya yang lalu sangat tidak menghormati suara rakyat dan prinsip demokrasi.

Dakwaan 18 :

DS Abdul Hadi mendakwa bahawa Anwar Ibrahim, AMANAH dan DAP telah pergi bertemu Tun Mahathir di pagi hari dengan menangis menyerahkan cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Jawapan AMANAH :

Pertemuan beberapa pimpinan utama Pakatan Harapan termasuk Anwar Ibrahim dengan Tun Dr Mahathir bagi membincangkan pembentukan kerajaan ialah pada malam hari 28 Februari 2020. Tiada seorang pun yang menangis dalam pertemuan tersebut. Amat buruk tingkah laku mereka reka cerita sebegini oleh seorang bergelar ulama.

Keduanya cadangan menubuhkan kerajaan perpaduan adalah cadangan Tun Dr Mahathir, bukannya cadangan Anwar Ibrahim, AMANAH dan DAP. Sehari selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Interim, Tun telah memanggil setiap ketua ketua kesemua parti ke Putrajaya menawarkan membentuk kerajaan perpaduan. Ia berlaku selepas Tun mendakwa dijanjikan sokongan oleh PAS dan UMNO untuk beliau kekal sebagai Perdana Menteri.

Ternyata ianya satu pembohongan, apabila PAS dan UMNO menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. Sebelumnya, selepas mengadap Yang Dipertuan Agung, PAS dan UMNO melalui sidang media Setiausaha Agung kedua dua parti mengumumkan desakan agar dibubarkan parlimen dan bukannya menamakan Tun Dr Mahathir. Jelas PAS membohongi Tun Mahathir.

Dakwaan 19 :

DS Abdul Hadi mendakwa wujudnya gerakan yang digerakkan atas rasuah, rebut-merebut dan ancaman demi ancaman berlaku ke atas semua ahli parlimen bagi mendapat sokongan.

Jawapan AMANAH :

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibentuk oleh pakatan ahli ahli parlimen PAS, UMNO, MCA dan MIC bersama sejumlah ahli parlimen Pakatan Harapan daripada BERSATU dan PKR yang melompat keluar Pakatan Harapan.

Oleh itu dakwaan rasuah, rebut merebut dan ancaman demi ancaman lebih tepat didakwa terhadap pihak yang berjaya membentuk kerajaan hasil sokongan.

Dakwaan 20 :

DS Abdul Hadi mendakwa Tun Mahathir terpedaya dengan tipu daya yang licik dan bangkit sejumlah ahli parlimen secara rahsia menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri dan setelah mendapat jumlah yang majoriti maka Yang Dipertuan Agung telah melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Jawapan AMANAH :

Yang memperdaya Tun Mahathir ialah PAS dan UMNO yang menjanjikan sokongan kepada Tun Mahathir untuk kekal sebagai Perdana Menteri, tetapi secara rahsia telah menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri apabila bertemu Yang Dipertuan Agung.

Setiausaha Agung PAS mendakwa bahawa Perikatan Nasional memperolehi 114 sokongan majoriti. Sedangkan tidak semua ahli parlimen PPBM menyokong pencalonan Muhyiddin Yassin. Namun, senarai ahli ahli parlimen PPBM yang menyokong Tun Dr Mahathir terhalang daripada diserahkan setelah nama mereka disekalikan dalam senarai ahli parlimen yang dihantar oleh Tan Sri Muhyiddin.

Ini adalah tipu helah sebenar untuk mencukupkan majoriti yang sebenarnya tidak wujud.

Dakwaan 21 :

DS Abdul Hadi mendakwa bahawa kejayaan membentuk kerajaan ini adalah Islah yang aman dengan mendapat sokongan rakyat, para pegawai kerajaan, tentera, polis dan Majlis Raja Raja.

Jawapan AMANAH :

Suara majoriti rakyat dalam piihanraya yang lalu telah memilih parti parti Pakatan Harapan dan Warisan untuk menubuhkan kerajaan. Manakala Barisan Nasional (BN) dan PAS adalah parti yang tidak mendapat sokongan majoriti rakyat untuk membentuk kerajaan persekutuan dalam pilihanraya yang lepas.

Namun kejayaan mereka membentuk kerajaan adalah hasil sokongan sejumlah ahli ahli parlimen PPBM dan PKR yang melompat. Jelas ianya bukan dengan sokongan rakyat.

Sekali lagi diulang bahawa melibatkan tentera, polis dan Istana menyokong kerja politik mereka adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan mencemarkan imej kedua dua pihak tersebut.

Penjelasan :

Walaupun ramai pihak mendesak agar dihentikan aktiviti dan kempen politik dalam suasana mencabar berhadapan Pandemik Covid 19 ini, namun pihak kami terpaksa menjawab tuduhan-tuduhan yang tersebar tersebut kerana ia telah disebarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dan menjadi barah fitnah yang mesti segera dipadamkan.

 

Diterbitkan oleh:

BIRO POLITIK
Parti Amanah Negara (AMANAH)

COMMENTS

Wordpress (0)