Hadi sahkan sudah dapat perkenan mengadap Sultan Perak

Hadi sahkan sudah dapat perkenan mengadap Sultan Perak

Permohonan untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah diperkenan oleh baginda, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan tarikh pihak Istana Perak menjemputnya bagi menghadap baginda.

“Kita telah sembah permohonan dan sudah diterima (saya) tak mahu beri tarikh bila (akan menghadap).

“Tiba masa kita akan menghadap,” katanya kepada media pada sesi dialog bersama Presiden Pas di ibu pejabat parti itu di Jalan Raja Laut di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Abdul Hadi memohon menghadap Sultan Perak, namun, belum ada tarikh yang ditetapkan.

Semalam, Abdul Hadi mengirim sepucuk surat ke istana untuk memohon menghadap Sultan Nazrin.

Kandungan surat itu antara lain menyatakan niatnya untuk memberitahu Sultan mengenai “situasi politik yang melibatkan Pas” ketika ini.

Ini berlaku setelah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Perak tidak hadir untuk sesi menghadap baginda Sultan Nazrin pada yang dijadualkan pada Selasa lalu di tengah ketidaktentuan politik mengenai calon menteri besar yang baharu.

Laman web berita The Vibes memetik sumber dekat kepada Abdul Hadi sebagai berkata Presiden Pas itu memohon menghadap Sultan untuk “memohon pengampunan”.

Pas sebelum ini menjelaskan bahawa ia memutuskan untuk “menangguhkan” menghadap Sultan Nazrin kerana kepemimpinan pusat parti itu belum memutuskan sokongannya terhadap ADUN Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak yang baru.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, isu politik Perak telah selesai selepas Saarani Mohamad mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang baru.

“Sebahagian besar sudah diselesaikan, menteri besar dan lima exco kerajaan negeri telah pun dilantik.

“Baki (exco) ikut proses (berdasarkan) perlembagaan negeri Perak,” ujarnya.

Berita penuh : https://malaysiagazette.com/2020/12/13/hadi-sudah-dapat-perkenan-sultan-perak/

COMMENTS