Guru KAFA enggan divaksin, Sultan Selangor zahir dukacita

Sultan Selangor dukacita sikap sesetengah rakyat termasuk guru KAFA yang tidak mahu divaksin kerana ia membahayakan diri sendiri dan orang ramai.

“Beta bimbang jika masih ada guru-guru KAFA yang tidak divaksin, ia boleh memudaratkan para pelajar. Golongan ini sepatutnya mengetahui bahawa jika seseorang itu dijangkiti dengan virus Covid- 19, suntikan vaksin akan dapat mengelakkan mereka daripada menerima kesan yang lebih buruk dan dapat mengelakkan kematian,” titah Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu kenyataan hari ini.

Baginda difahamkan sejumlah besar kematian akibat Covid-19 di Selangor ini adalah di kalangan mereka yang tidak divaksin.

Guru KAFA enggan divaksin, Sultan Selangor zahir dukacita

Sutan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.- Gambar ihsan Selangor Royal Office.

“Beta ingin mengingatkan kepada guru-guru KAFA yang masih berdegil ini, mereka berdepan kemungkinan tidak dibenarkan untuk meneruskan tugas. Begitu juga kepada pegawai-pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin, mereka juga berhadapan dengan tindakan yang sama,” titahnya lagi.

Sultan Selangor juga difahamkan terdapat 268 orang guru sekolah rendah kebangsaan dan 182 orang guru sekolah menengah kebangsaan di Selangor yang juga enggan divaksin.

“Ini juga boleh membahayakan para pelajar sekolah-sekolah rendah kebangsaan dan sekolah-sekolah menengah kebangsaan di Negeri Selangor dan perkara ini perlu diambil perhatian oleh pihak-pihak yang berwajib,” titahnya.

Baginda juga telah menerima laporan secara terperinci daripada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengenai maklumat pengambilan vaksin Covid-19 di kalangan guru-guru KAFA, pegawai-pegawai masjid dan surau serta jurunikah di Negeri Selangor di bawah pentadbiran JAIS.

“Beta difahamkan seramai 326 orang guru KAFA belum mendapat suntikan vaksin Covid-19. Manakala 95 orang guru KAFA enggan menerima suntikan vaksin berkenaan,” titahnya.

Sementara itu, seramai 59 orang pegawai masjid belum mendapat suntikan vaksin Covid-19, dengan 11 orang lagi enggan berbuat demikian manakala sembilan orang jurunikah pula masih belum divaksin dan enam dikenalpasti enggan menerima vaksin.

“Beta berharap pihak Jabatan Kesihatan Selangor dapat menyegerakan proses vaksinasi Covid-19 terhadap guru-guru KAFA, pegawai-pegawai masjid dan jurunikah di Negeri Selangor ini,” titahnya.

Berita Penuh : https://malaysiagazette.com/2021/09/02/sultan-selangor-dukacita-sikap-guru-kafa-tak-mahu-divaksin/

BACA JUGA : Panas !!! SPRM sahkan terima laporan rasuah, salahguna kuasa terhadap KP ROS