Guru Besar dakwah telah pergi meninggalkan kita – Mujahid

Guru Besar dakwah telah pergi meninggalkan kita.Professor Dato’ Dr Siddiq Fadhil sangat rapat dengan generasi ke 2 Dakwah dan Gerakan Islam. Beliau memimpin ABIM satu ketika dan Wadah serta menjadi rujukan kepada Fiqh Lokal yang membumikan Islam dalam konteks Malaysia.

Saya menemui beliau pada awal GHB (Gerakan Harapan Baru) dilancarkan sekitar awal 2015. Tugas saya ialah bertemu dengan kelompok NGO Islami dan Wadah tidak terkecuali. Pertemuan berlangsung di bangunan depan rumah beliau, di mana beliau menyambut tetamu yang berkunjung. Saya menerangkan secara umum peranan Islam dalam era baru yang memerlukan sebuah politik Islam yang progresif dan inklusif mengikut acuan Malaysia.

Beliau menyambut ide ini dengan sikap yang positif dan kami berbincang panjang seputar Gerakan Dakwah yang ada apresiasi suasana lokal yang beliau sifatkan sebagai kearifan lokal yang dituntut oleh Syariat Islam.

Tidak saya sangka pertemuan awal itu berlanjutan seterusnya untuk saya jadikan Dr Siddiq Fadhil sebagai rujukan dan meminta nasihat-nasihat beliau ketika Parti AMANAH diasaskan pada 16 September 2015. Saya memerlukan jawapan kepada tekanan-tekanan dari kelompok Islam yang menganggap Islam itu hanyalah perlaksanaan undang-undang jenayah Hudud. Ketika itu RUU 35 menjadi polemik dan saya antara yang lantang menangani salah faham yang sengaja dibawa oleh pihak tertentu kononnya menolak RUU 355 adalah menolak Islam!

Guru Besar

Guru Besar dakwah telah pergi meninggalkan kita

Dr Siddiq Fadhil menjawab tenang dalam salah satu pertemuan kami, bahawa dalam medan demokrasi berparlimen, pandangan sesuatu boleh dibahas dan diperdebatkan walaupun atas nama Islam, lagipun ujarnya lagi RUU 355 bukan hudud, apa salahnya diperdebatkan untuk kebaikan? Saya masih ingat istilah yang dipakai allahyarham iaitu ‘..bergelut dengan ide-ide, bukan satu kesalahan..’ Saya tenang dengan panduan Allahyarham yang bertindak sebagai Guru kepada anak muridnya. Saya kemudian memanggil beliau sebagai Guru Besar Dakwah.

Allahyarham seorang yang rapat dengan Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah (NUNJI) yang saya dan teman-teman asaskan sebelum Parti Amanah Negara ditubuhkan. Awal Konvensyen NUNJI 2015, Dr Siddiq Fadhil menjadi favorite daripada semua pembentang. Celotehnya, kiasannya serta ketajaman beliau memilih perkataan yang tepat menjadikan para peserta terikat di tempat duduk masing-masing sehingga tamat. Selepas itu Allahyarham menjadi wajah yang biasa dengan program-program NUNJI, malah ide dan gagasan pemikirannya turut dimuatkan dalam penerbitan kami di Nadwah Ulamak.

Pemikirannya tentang Islam dan Negara Bangsa serta kepelbagaian kaum dan adab-adab Melayu yang terpandu dengan adab Islam adalah kelebihan pemikiran beliau. Semasa saya menjadi Menteri Agama di JPM, kami telah mencalonkan Allahyarham sebagai Tokoh Maal Hijrah untuk tahun 2018. Saya berpuas hati kerana beliau sememangnya layak dan bukan kerana beliau adalah Guru Besar Dakwah saya. Saya berbesar hati menjemput beliau untuk Majlis Syarahan Perdana Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan yang buat pertama kalinya diadakan semasa saya menjadi Menteri Agama. Sesuai dengan kepakarannya tajuk yang kami pilih ialah “Hijrah Ke Malaysia Baharu: Mencari Makna di Balik Kata”

Walaupun pengenalan saya dengan Allahyarham tidaklah lama mana tetapi namanya saya telah kenali sebaris dengan tokoh Gerakan Islam yang lain melalui bacaan dan pandangannya. Tenang dan sentiasa memilih perkataan yang tepat, mesra dan sifat gurunya sangat terserlah. Saya akan kehilangan Guru Besar saya dan setiap butiran ilmunya saya akan genggam buat pedoman untuk meneruskan perjalanan di alam fana ini.
Al Fatihah… semoga dimenfaatkan ilmunya kepada kita dan diterima Allah segala kebaikannya untuk umat Islam dan seluruh rakyat yang mencintai mesej Islam yang Aman dan penuh Rahmah.

DS Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden AMANAH
Penasihat Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah (NUNJI)
Sumber:

BACA: 20 ribu batang rokok untuk kegunaan sepasang suami isteri