Guna panggilan video sebagai pengganti ziarah waktu perayaan

PRN

Guna panggilan video sebagai pengganti ziarah waktu perayaan. Orang ramai digalak memanfaatkan panggilan video sebagai ganti amalan ziarah ketika menyambut perayaan berikutan penularan pandemik COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata orang ramai yang masih mahu merancang untuk berkumpul secara fizikal atau berkunjung untuk sambutan Krismas perlu melakukan beberapa langkah bagi membendung penularan wabak berkenaan.

Memetik laporan FMT “Antara langkah perlu dilakukan adalah ‘Trace, Report, Isolate, Inform dan Seek’ (TRIIS) terlebih dahulu sebelum menghadiri sambutan berkenaan. Kekalkan amalan norma baharu seperti jaga penjarakan fizikal, pakai pelitup muka sepanjang masa kecuali ketika menjamu selera, kerap cuci tangan dengan sabun atau pencair pembasmi kuman.

“Selain itu, elak menyentuh mata, hidung dan mulut serta elakkan berkongsi perkakas makanan dan minuman,” katanya dalam kenyataan, hari ini sambil menasihatkan bahawa perhimpunan keluarga seeloknya dihadkan dari segi bilangan orang yang hadir dan tempoh masa ia berlangsung.

Ahli keluarga yang bergejala disaran menjalani kuarantin dan ujian saringan kendiri sebelum bergaul dengan ahli keluarga lain, manakala untuk memastikan pengudaraan lebih baik, tingkap dan pintu seharusnya dibiarkan terbuka agar pergerakan udara lebih bebas.

“Jika boleh, adakan sambutan di kawasan luar rumah. Elakkan juga bersembang secara dekat dan lama ketika berkumpul. Bagi individu yang dikategorikan sebagai kontak rapat atau positif COVID-19, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menegaskan bahawa disiplin adalah amat penting dalam menjalani kuarantin.

“Ini bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 dan secara tidak langsung dapat melindungi warga emas serta kumpulan-kumpulan rentan daripada dijangkiti,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan pematuhan kepada nasihat yang digariskan, perayaan itu masih boleh disambut bersama keluarga tersayang, namun dengan waspada dan selamat.

“Bagi yang berada di jalan raya sepanjang musim perayaan dan cuti sekolah ini, berhati-hati di jalan raya. Biar lambat, asalkan selamat,” katanya.

BACA JUGA:

Ahli Geologi bergabung cari punca banjir besar Lembah Klang, ini penemuannya
Ini beza cara kerajaan PH tangani bencana berbanding kerajaan sekarang
Rupanya memang ramai menteri berada diluar negara bercuti ketika banjir melanda

 

Artikel ini disiarkan pada 27/12/2021

COMMENTS

Wordpress (0)