Guna ‘Jakun’ dalam nada menghina, orang asli luah rasa kecewa

Jakun

Guna ‘Jakun’ dalam nada menghina, orang asli luah rasa kecewa.Pelukis Orang Asli Shaq Koyok berasa kecewa dan marah atas penggunaan perkataan Jakun dalam kepala berita sebuah portal semalam.

Shaq memberitahu Malaysiakini dia terkejut melihat tajuk “Jijoe jakun posing depan jambatan” oleh Harian Metro, yang memaparkan jaguh pelumba basikal negara Azizulhasni Awang bergambar bangga di hadapan jambatan angkat Terengganu di negeri asalnya.

Dalam hantaran asal, pemenang pingat Olimpik itu berkata dia tidak kisah jika orang ramai memanggilnya jakong (dialek Terengganu untuk Jakun) kerana bergambar di hadapan jambatan berkenaan.

Harian Metro memetik hantarannya secara langsung dan mengubahnya kepada bahasa Melayu standard, dengan menggantikan perkataan jakong kepada ‘orang Jakun’.

Azizulhasni telah pun menukar perkataan jakong dalam hantaran asal, kepada perkataan ‘kelolo’.

Jakun

Untuk rekod, Harian Metro juga telah menukar kepala berita kepada “Kini baru Jijoe dapat peluang posing” dan menggugurkan perkataan Jakun dalam laporannya.

Pun begitu, kata Shaq perkara tersebut tidak seharusnya berlaku.

“Pada 2021, kita masih lagi lihat sesetengah orang Malaysia menggunakan Orang Asli Jakun sebagai satu istilah menghina! Berhenti menghina Orang Asli dalam cara begitu!

“Janganlah menggunakan ayat menyebut nama kaum orang lain untuk jadikan perumpamaan yang tidak baik.

“Lagi-lagi nak jadi contoh perangai seseorang itu. Tak salah kalau buat benda yang baik,” katanya di Twitter.

Shaq, Orang Asli suku Temuan, memberitahu Malaysiakini penggunaan perkataan Jakun dalam cara sebegitu adalah tidak bertanggungjawab dan memudaratkan.

“Media seharusnya profesional dalam kerja mereka. Mereka perlu memeriksa asal perkataan (yang digunakan) dan mendidik diri mereka tentang orang minoriti di negara ini, terutamanya Orang Asli dan perkauman,” katanya.

Dengan komuniti lebih 20,000 orang, Jakun merupakan suku kedua terbesar daripada 18 suku Orang Asli di Semenanjung Malaysia dan tinggal kebanyakannya di hutan-hutan di Johor dan Pahang.

Nama suku mereka digunakan secara meluas dalam percakapan pasar sebagai istilah yang bersifat merendah-rendahkan, bagi menggambarkan seseorang yang kolot, kuno, atau mundur; atau mudah takjub atau hairan apabila melihat objek kemajuan.

Ia sama seperti istilah “sakai” yang merupakan perkataan Siam untuk Orang Asli, tetapi digunakan untuk merendah-rendahkan seseorang di Malaysia.

Kawan kepada Shaq, Rosya yang merupakan seorang Jakun, mengaku terluka dengan insiden itu.

“Sedih apabila orang menggunakan nama kaum saya untuk merujuk kepada penampilan atau sikap mereka. Didiklah diri anda, saya letih nak didik kawan-kawan sendiri. Hanya seorang, dua menerima penjelasan saya dan tak ulangi lagi (menggunakan istilah itu).”

Shaq melukis tentang subjek Orang Asli bagi membangkitkan isu dan kehidupan masyarakatnya.

Katanya, ketika sambutan Hari Merdeka menjelang tiba, masih ramai yang belum belajar untuk melayan orang lain dengan rasa hormat.

“Saya rasa masalah ini datang daripada sistem pendidikan Malaysia, yang tidak pun mengajar pelajar tentang budaya dan sejarah Orang Asli.

“Inilah sebabnya kenapa ramai pelajar Orang Asli tak menamatkan sekolah menengah mereka – kerana sikap perkauman.

“Saya tanya kawan-kawan Orang Asli saya sebab mereka berhenti sekolah. Mereka kata, ‘Kenapa susah-susah hendak ke sekolah sedangkan mereka dibuli dan dipanggil macam-macam gelaran?” kata Shaq lagi.

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/589262

BACA: Aishah positif Covid-19, dibawa ke hospital