Guna dana KWAN : Najib dan Guan Eng bidas Zafrul

Guna dana KWAN : Najib dan Guan Eng bidas Zafrul

Kedua-dua bekas menteri kewangan – Lim Guan Eng dan Najib Razak hari ini mengkritik keputusan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz untuk menggunakan suku daripada dana Kumpulan Wang Amanah Negara (Kwan) untuk membiayai program vaksin Covid-19.

Lim dalam satu kenyataannya hari ini mempersoalkan apa yang telah terjadi dengan dana Covid-19 yang berjumlah RM17 bilion yang telah diluluskan dalam Belanjawan 2021 sebelum ini.

“Bagi Zafrul yang sekarang mengatakan bahawa RM5 bilion yang diperlukan tidak termasuk dalam Belanjawan 2021 adalah tidak jujur dan salah nyata yang melampau kepada ahli parlimen, yang didorong untuk mempercayai bahawa RM5 bilion akan disediakan dari Belanjawan 2021 atau melalui pinjaman.

“Tidak pernah disebut ‘penjarahan’ dan penggunaan Tabung Kwan oleh Zafrul ketika Belanjawan 2021 dibahaskan di parlimen tahun lalu,” kata wakil rakyat Bagan itu.

Ketika Zafrul membentangkan Belanjawan 2021, dia menyebut dalam perbahasannya bahawa bekalan vaksin Covid-19 akan berharga lebih dari RM3 bilion.

Bagaimanapun, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menyatakan angka RM3 bilion itu tidak terdapat dalam dokumen Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2021.

Semalam, Zafrul berkata kerajaan akan menggunakan RM5 bilion daripada dana Kwan untuk membiayai program vaksinasi Covid-19, iaitu 25.6 peratus daripada dana Kwan yang berjumlah RM19.5 bilion setakat 31 Disember 2020.

Najib: PN tak mengaku bimbang hutang negara RM1 trililon

Zafrul turut memberi jaminan bahawa wang itu hanya akan digunakan bagi program berkenan dan bukan tujuan lain memandangkan negara sedang mengalami krisis yang memerlukan sokongan dari dana Kwan.

Jelas Zafrul lagi, hal ini kerana kerajaan tidak dapat menanggung lebih banyak hutang, kerana sudah memiliki hutang dan liabiliti sebanyak RM1 triliun, termasuk pinjaman tanpa sumber pembayaran seperti 1MDB.

“Sebagai contoh, obligasi hutang kerajaan untuk 1MDB sebanyak RM40 bilion cukup untuk membayar lapan program vaksinasi,” katanya semalam.

Tabung Kwan telah ditubuhkan pada tahun 1988 untuk mengumpulkan simpanan kerajaan dan menyediakan pembiayaan alternatif bagi perbelanjaan pembangunan.

Sementara itu, Najib mendakwa Putrajaya telah “pecah” bajetnya untuk tahun 2021 walaupun baru memasuki bulan April.

Menurut Najib, kerajaan Perikatan Nasional tidak akan mengaku mereka bimbang hutang negara benar-benar akan cecah angka RM1 trilion kerana ia bahaya dari segi politik.

Malah katanya, kerajaan PN juga tidak akan mengaku bahawa ia telah melanggar had hutang pada akhir tahun 2020 lepas.

Menurut Najib, Putrajaya terpaksa meminjam RM85 bilion tahun ini sahaja dan khuatir akan implikasi politik sekiranya hutang berkanun negara itu mencecah RM1 trilion.

Dia juga mendakwa bahawa kerajaan telah memberikan jauh lebih banyak projek-projek melalui rundingan terus pada tahun ini serta menaikkan had untuk projek rundingan terus semasa darurat dengan alasan perbelanjaan kerajaan perlu dicepatkan untuk suntik wang ke dalam ekonomi.

“Projek apa? Berapa jumlahnya? Siapa yang diberi?

“Tidak diketahui sebab parlimen tidak dibenar berlangsung dan kerajaan telah guna kuasa darurat untuk mengeluarkan ordinan darurat yang gantung akta kewangan negara yang mengawal dan memantau perbelanjaan kerajaan.

“Sebab itu, kerajaan PN telah pinjam sebanyak RM85 bilion dalam tempoh masa 4 bulan pertama tahun 2021,” katanya.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/572445