Guna alasan ziarah ibu untuk rentas negeri, rupanya kantoi ambil bekalan daun ketum

Guna alasan ziarah ibu untuk rentas negeri, rupanya kantoi ambil bekalan daun ketum

ISU membuat alasan palsu untuk merentas negeri semakin banyak dikesan. Yang terbaru ialah seorang lelaki sanggup menipu ketika memohon permit rentas negeri kononnya untuk ziarah ibu di Kedah.

Sebaliknya dia pergi ke negeri utara itu untuk mengambil daun ketum dan dibawa ke Kelantan.

Helah lelaki berusia 38 tahun itu terbongkar selepas dia ditahan bersama sebuah kereta sarat muatan 160 kilogram (kg) daun ketum pada 4 petang Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, lelaki itu dipercayai memandu dari Kedah melalui Simpang Pulai, Perak sebelum ke Gua Musang.

Menurutnya, sebaik tiba di sekatan jalan raya (SJR) di Kampung Kundur dekat sini, keretanya ditahan untuk pemeriksaan.

“Apabila pemeriksaan dilakukan, ditemukan 16 plastik hitam mengandungi 160 kg daun ketum yang dipercayai diambil dari utara.

“Hasil siasatan juga mendapati suspek mengaku membuat menipu ketika permohonan permit rentas negeri semata-mata untuk pergi mengambil daun ketum berkenaan,” katanya hari ini.

BERITA BERKAITAN Pesta mabuk ketum, 10 direman termasuk penjawat awam

Menurutnya, lelaki itu dikatakan hanya mengambil upah membawa daun ketum dengan bayaran RM1,500 sehingga sampai ke destinasi dijanjikan.

“Berdasarkan siasatan awal, lelaki berkenaan sudah tiga kali membawa masuk daun ketum ke negeri ini tetapi terlepas,” katanya memetik laporan Harian Metro Online.

Menurutnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan suspek direman sehingga 11 April ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Penuh :https://utusantv.com/2021/04/09/rentas-ketum/