Gugat Keharmonian : SKMM Tidak Akan Berkompromi

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama pihak polis tidak akan berkompromi dan sentiasa komited untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menggugat keselamatan, kestabilan dan keharmonian negara.

SKMM dalam satu kenyataan memberitahu, antara 2018 sehingga bulan lalu, sejumlah 47 kertas siasatan telah dibuka oleh pihak suruhanjaya dengan lima daripadanya telah dijatuhkan hukuman.
“Internet dan media sosial pada masa ini menjadi wadah pengguna pilihan untuk berkomunikasi dan menyuarakan pandangan mengenai pelbagal isu semasa.
“Namun begitu, SKMM menyedari bahawa terdapat segelintir yang bertindak untuk menyebarkan agenda-agenda yang boleh memecahbelahkan perpaduan di antara kaum serta mengganggu-undangat ketenteraman awam dan menjurus kepada polemik perkauman dan agama,” katanya di sini hari ini.
Dalam tempoh antara 2018 sehingga bulan lalu juga, tegasnya, sebanyak 2,358 proses bantuan teknikal dan pengenalpastian maklumat bagi membantu proses siasatan agensi penguatkuasaan, telah dilaksanakan oleh pihak SKMM.
Selain itu, sebanyak 3,407 akaun palsu media sosial termasuk yang disalahgunakan untuk penyebaran mesej-mesej bersifat ekstremis, kebencian dan fitnah serta 1,163 kandungan berunsur sama, telah disusuli dengan tindakan pemadaman dengan kerjasama pengendali platform media sosial antarabangsa.
“Dalam tempoh yang sama juga, pihak SKMM turut membantu dalam meuarkan-uarkan maklumat untuk mengatasi 979 berita palsu yang tular di media sosial dan internet; melalui portal inisiatif sebenarnya.my yang dikendalikan oleh SKMM,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, kenyataan berkenaan menambah, usaha-usaha yang dijalankan oleh SKMM akan terus dipertingkatkan bagi memastikan sebarang anasir yang boleh menjejaskan kesejahteraan masyarakat dan negara dapat dikawal serta dibendung sepenuhnya.
Menurutnya, ini termasuk mempergiatkan aktiviti mendidik masyarakat melalui program-program advokasi ‘Klik Dengan Bijak’ untuk memupuk pembudayaan penggunaan Internet secara positif dan berhemah.
“Pada masa yang sama, peruntukan yang sedia ada adalah Seksyen 233 Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memberikan punca kuasa penguatkuasaan sosial dan internet media kepada pihak SKMM, sedang dikaji dan diperkemaskan untuk memastikan skop dan penggunaannya tidak memberikan ruang untuk disalahgunakan,” katanya.
Sumber : http://m.utusan.com.my/berita/nasional/gugat-keharmonian-skmm-tidak-berkompromi-1.852704