GST sesuai diperkenal 2022

GST sesuai diperkenal 2022

Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mungkin boleh diperkenalkan semula di Malaysia namun bukan pada tahun depan, sebaliknya pada 2022.

Pakar ekonomi, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, meskipun cukai tersebut dilihat efisien dan komprehensif, namun dengan trend perbelanjaan rakyat yang masih belum kukuh, cukai tersebut tidak sesuai dilaksanakan dalam masa terdekat.

Menurut beliau, berdasarkan indeks jualan runcit dan pemborong untuk bulan lepas, trend masih lagi menunjukkan pola penurunan.

“GST ini mungkin boleh diperkenalkan pada 2022 bila ekonomi dijangka pulih tapi pada kadar yang rendah.

“Bukan enam peratus, mungkin empat peratus supaya sekurang-kurangnya kerajaan ada peluang untuk meningkatkan kadar cukai jika ada keperluan untuk kerajaan menambah pendapatan.

“Tapi untuk tahun hadapan, fokus harus diberikan kepada mengawal perbelanjaan yang dirancang dalam Belanjawan 2021 supaya tidak berlaku ketirisan,” katanya ketika ditemu bual dalam Buletin AWANI pada Isnin.

Tambah beliau, kerajaan juga harus memikirkan alternatif untuk merancakkan ekonomi tanpa menambah hutang atau menambah pendapatan dan hasil melalui cukai baharu.

“Apa yang berlaku sekarang apabila orang bercakap tentang krisis ekonomi, sebenarnya ia disebabkan kecairan, rakyat tidak mempunyai wang tunai yang cukup untuk lakukan transaksi perniagaan.

“Sebenarnya wang itu ada tapi dipegang, disimpan dan tidak dibelanjakan golongan tertentu menyebabkan golongan B40 dan M40 terutamanya tidak mempunyai wang cukup untuk berbelanja termasuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

“Apa yang kerajaan lakukan melalui pakej rangsangan, Belanjawan 2021 ialah menyalurkan secara langsung peruntukan atau projek kerajaan supaya wang masuk ke dalam pasaran, lebih banyak transaksi boleh dilakukan,” ujarnya.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/gst-boleh-diperkenalkan-semula-tapi-bukan-tahun-depan-274123

COMMENTS