Gelandangan juga rakyat Malaysia, perlu dibantu

Gelandangan juga rakyat Malaysia, perlu dibantu

Seramai 530 gelandangan di sekitar Kuala Lumpur kini ditempatkan sementara di empat lokasi pusat pemindahan golongan itu, bertujuan membendung penularan Covid-19.

Menurut hantaran di Facebook Azlan Zambry yang juga wartawan Wilayahku, empat pusat pemindahan sementara itu adalah, Pusat Komuniti Sentul Perdana, Pusat Komuniti Setiawangsa, Dewan Serbaguna Tasik Ampang Hilir dan Dewan Serbaguna Alam Damai.

“Keempat-empat pusat pemindahan itu tidak termasuk Anjung Singgah di Jalan Hang Lekiu dan Pusat Transit Gelandangan, Jalan Pahang.

“Kesemua tempat tersebut mengumpulkan 530 gelandangan termasuk dari 10 negara luar dan tiga kanak-kanak, seorang lelaki berusia 4 tahun, dan juga dua kanak-kanak perempuan berumur 3 dan 5 tahun.

“Tiada sebarang aktiviti (di sana), dan mereka diberikan makanan yang dibiayai oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta 13 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut sama membantu mengagihkan makanan,” katanya di Facebooknya hari ini.

24 Mac lalu, seorang Felo Bersekutu, Pusat Penyelidikan Keadilan dan Perundangan menerusi ruangan Komentar BH telah menyuarakan pandangannya tentang golongan gelandangan di saat negara menghadapi pandemik Covid-19.

Katanya, penularan wabak itu boleh berlaku dalam kalangan gelandangan yang mempunyai masalah tempat tinggal khususnya di Kuala Lumpur yang padat penduduk.

“Mereka menjadi sasaran mudah kepada penularan wabak kerana terpaksa hidup berhimpit sama ada di rumah perlindungan atau tinggal di jalanan dan lorong sempit yang tidak mempunyai akses tetap kepada kemudahan asas kebersihan seperti tandas serta bilik mandi.

“Selain itu, penularan wabak Covid-19 lebih mudah terdedah dalam kalangan gelandangan kerana mereka kerap bergerak dan agak sukar dikesan untuk dirawat berbanding orang awam.

“Golongan ini tidak boleh diabaikan dan perlu dibantu kerana mereka juga rakyat Malaysia. Beberapa langkah segera perlu diambil pihak berkuasa antaranya mereka perlu didedahkan dengan maklumat cara penularan wabak tersebut,” katanya.