Tindakan Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (JBPM) memberi anugerah kepada artis menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak.
Menurut penulis bernama Melayu Kita dari Alor Pongsu, Perak dalam artikel disiar portal Suara.tv, beliau membangkitkan perkara tersebut.
“Baru-baru ini akhbar Harian Metro telah melaporkan Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mengadakan Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Bomba yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.”
“Melalui artikel tersebut difahamkan anugerah ini diberikan kepada orang awam yang berjasa besar kepada JBPM.”
“Antara penerima anugerah “kebesaran” tersebut adalah pelakon drama Darling Ngasri. Akhbar tersebut turut melaporkan bahawa ini merupakan anugerah kedua yang diterima oleh Darling daripada JBPM, setelah pelakon tersebut menerima Pingat Jasa Bomba pada tahun 2018.”
Menurutnya lagi , nampaknya JBPM begitu takjub dan kagum dengan jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh Darling sehingga dua kali memberikan pelakon tersebut pengiktirafan yang begitu hebat.
Penulis turut membangkitkan persoalan, mengapa JBPM tidak memberikan sebarang anugerah kepada mereka yang terlibat secara langsung dalam mempertahankan maruah dan kehormatan anggotanya sendiri?

“Dimanakah anugerah untuk insan-insan yang berjuang untuk mempertahankan Allahyarham Muhammad Adib Bin Mohd Kassim, anggota JBPM yang terbunuh ketika menjalankan tugas?”
Beliau mengingatkan JBPM tentang figura-figura seperti Peguam Syazlin Mansor, Prof. Dr. Shahrom Abd Wahid (Pakar Fotensik), Prof. Amir Radzi (Pakar Fizik), Peguam Kamaruzzaman Abd Wahab, Peguam Ahmad Taufiq Baharom dan beberapa orang lagi yang bermati-matian mempertahankan maruah Allahyarham Muhammad Adib, tidak langsung dihargai oleh JBPM sendiri.
Itu belum lagi dikisahkan pengorbanan suami Syazlin Mansor, Ahmad Soffian yang sanggup berkorban meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Akhbar Menteri KPKT (YB Zuraida Kamaruddin) untuk membolehkan isterinya terus berjuang di dalam kes inkues tersebut.
“Dimanakah penghargaan dan pengiktirafan untuk mereka? Atau mungkin drama-drama yang dihasilkan oleh artis-artis tertentu lebih tinggi nilainya daripada menegakkan kebenaran untuk anggota JBPM sendiri?”, katanya dalam penulisan artikel tersebut.
BACA JUGA :
Harga tepung gandum, gula dan beras pula dijangka naik
Perompak diberkas, tertidur dalam kereta dengan barang rompakan