Gerakan reformasi rakyat mampu padamkan pengkhianatan

Hari ini genap setahun mandat rakyat dikhianati melalui Langkah Sheraton yang telah menodai demokrasi didamba rakyat sejak sekian lama dan sekaligus telah memporak perandakan negara pada hari ini.

Langkah Sheraton yang didalangi pengkhianat bersama kuncu-kuncu mereka hingga tertubuhnya Perikatan Nasional merupakan bukti jelas bahawa semua itu sudah dirancang berbulan-bulan lamanya. Sabotaj dalaman ini telah menjawab pertikaian terhadap beberapa keputusan Kerajaan Pakatan Harapan ketika itu yang tidak selari dengan perjuangan reformasi.

Jika turut diimbas banyak kenyataan Tun Dr Mahathir dari sebelum Langkah Sheraton hingga kini yang membelakangi janji, tidak menjiwai agenda reformasi serta berterusan menyerang Dato’ Seri Anwar Ibrahim sudah pasti menguatkan dakwaan bahawa beliau juga adalah sebahagian daripada watak utama yang mengkhianati Pakatan Harapan.

Di atas dasar ini, AMK Malaysia telah mengambil jalan tegas dan berprinsip demi mempertahankan agenda reformasi dengan memfokuskan kepada isu-isu rakyat terutamanya ekonomi dan anak muda.

Kini dengan siri kegagalan dan kecelaruan Perikatan Nasional dalam mengendalikan krisis COVID-19, amalan 2 darjat prosedur operasi standard (SOP), pelaksanaan darurat yang menjadi pertikaian, dan pendidikan negara yang semakin cacamarba bukan sahaja membebankan rakyat, bahkan telah mencalarkan imej Malaysia di pentas antarabangsa.

Maka tidak hairanlah ekonomi negara kian merudum dengan kemerosotan pelaburan langsung asing (FDI) sehingga 68%, keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang menguncup hingga -5.6% jauh dari unjuran Menteri Kewangan, penurunan penarafan kewangan oleh Fitch Rating dari A- kepada BBB+ serta Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang jatuh 6 anak tangga ke kedudukan 57.

Resam pengkhianatan tidak akan bertahan lama dan pasti tumbang. Rakyat akan bangkit memadamkan detik hitam demokrasi Malaysia dengan memilih parti yang tulen dan ikhlas membawa obor perjuangan reformasi demi manzahirkan Malaysia Baru yang sebenar pada Pilihanraya Umum ke-15 nanti.

AKMAL NASIR

Ahli Parlimen Johor Bahru

Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Sumber:https://shahbudindotcom.net/2021/02/23/pengkhianatan-pasti-tumbang-reformasi-akan-bangkit-memadam-detik-hitam.html

COMMENTS

Wordpress (0)