Gerakan politik gila di Perak memang dirancang oleh Umno

Gerakan politik gila di Perak memang dirancang oleh Umno

Gerakan politik gila di Perak ini memang dirancang oleh Umno. Awalnya Biro Politik Amanah Perak buat ketetapan untuk tidak terlibat dalam usul undi percaya. Tidak mahu masuk perangkap.

Namun atas arahan Presiden Amanah, Mohamad Sabu di saat-saat akhir untuk menolak usul tersebut, akhirnya usul itu menyebabkan Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumuatau lebih mesra dikenali sebagai Peja jatuh dan suasana politik Perak bergolak.

Pada kesempatan ini, Amanah mesti memanfaatkan keadaan. Bisnes kita adalah untuk mendapatkan kuasa. Dan cara kita mendapatkan kuasa masih dalam lingkungan politik yang berintegriti. Alang-alang sudah ada peluang, Amanah mesti ambil kesempatan.

Sekarang Umno menanggung masalah dan meminta Amanah selesaikan masalah mereka. Ada dua masalah Umno Perak. Satu, sokongan dari lima Adun Amanah sokong Umno ketuai kerajaan Perak. Kedua, mereka setuju DAP menjadi sebahagian kerajaan tetapi sebagai rakan di luar dan berperingkat.

Masalah pertama boleh selesai. Masalah kedua, kena selesaikan segera. Itu masalah taktikal yang boleh diurus kemudian selepas bentuk kerajaan dengan Umno. Yang penting, Amanah buat kerajaan dulu. Jangan bagi peluang PAS dan Bersatu patah balik ke Umno. PAS sangat mahir fiqh patah balik.

Jangan rasa selesa bahawa Umno lebih selesa tubuh kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) berbanding dengan Perikatan Nasional (PN). Amanah jangan berlagak macam jual mahal sangat. Kesediaan Umno untuk terima DAP secara begitu sudah satu peluang baik untuk PH mengambalikan mandat rakyat.

Yang lebih utama, kesediaan DAP untuk bersama dengan Umno sudah satu pencapaian luar biasa. Dan kesediaan Umno berbincang hendak menubuhkan kerajaan dengan DAP pun satu yang sangat menarik.

Meski ada beberapa halangan yang bersifat teknikal perlu diselesaikan. Ahli politik adalah ahli sihir terhebat. Ada keajaiban yang boleh dilakukan oleh ahli politik. Ayuh gunakanlah sihir kalian.

Amanah Perak sudah bermesyuarat malam tadi bersepakat untuk setuju membentuk kerajaan bersama dengan Umno. Ini sokongan akar umbi. Bab hendak mengadap serangan musuh politik itu kerja mudah sekarang.

PAS sudah buat ijtihad awal untuk bertaawun dengan Umno. Amanah boleh saja copy paste hujah PAS. Tidak perlu fikirkan sangat.

Mengikut sumber, istana mungkin hanya mahu 31 surat akuan bersumpah (SD) menyokong calon Umno jadi MB. Setakat ini Umno sudah ada 26 SD. Tidak mustahil jika Umno boleh dapat tambahan SD dari Adun-Adun lain.

PKR Perak awal-awal nak bentuk kerajaan dengan Umno. Sayangnya mereka ada tiga kerusi sahaja. Jika mereka ada lima, mungkin mereka akan tubuh kerajaan dengan Umno. Waktu itu, Amanah terlepas.

Memang Majlis Presiden putuskan agar PH Perak masuk en bloc. Namun taktikalnya Amanah mungkin boleh pelbagai seperti Amanah masuk dulu dan buat perjanjian untuk terima masuk DAP dan PKR lepas itu. Janji pecahkan PN dan PH sudah pacak sebagai kerajaan.

Oleh itu, saya mohon pimpinan segera buat tindakan politik yang lebih tegas dan berani meski ada risiko. Iaitu memberi kebenaran untuk kelima Adun membentuk kerajaan dengan Umno lebih dahulu sebelum peluang ini diambil oleh pihak lain. Jika tidak, Amanah mensia-siakan peluang yang ada.

Saya mencadangkan bagi membentuk domino kepada perubahan landskap politik tanahair. Politik perkauman mungkin leboh mudah diurus selepas ini. Sepanjang tempoh yang berlalu, Amanah hanya bersikap tunggu dan lihat Umno menentukan permainan. Amanah memang setia cool dan calm.

DR MUHAIMIN SULAM adalah naib pengerusi Amanah Perak dan juga ahli jawatankuasa Amanah kebangsaan.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/554494

COMMENTS