’Geng Nicky’ mula didakwa, 2 adik-beradik bergelar Datuk turut didakwa

’Geng Nicky’ mula didakwa, 2 adik-beradik bergelar Datuk turut didakwa

SELEPAS ditahan beramai-ramai baru-baru ini, 16 ahli ‘Geng Nicky’ dituduh di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini, termasuk dua adik-beradik Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee yang bergelar ‘Datuk’.

Mereka bersama Nicky, ketua kumpulan jenayah terancang itu dan pembantu peribadinya, Niu Zhe, dituduh di mahkamah pagi ini atas kesalahan menganggotai kumpulan jenayah terancang.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam satu kenyataan hari ini berkata, bagaimanapun pertuduhan ke atas Nicky dan pembantu wanita warga negara China itu, dijalankan secara ‘in absentia’ kerana mereka masih dalam buruan.

Ayob Khan menunjukkan gambar suspek Datuk Seri Nicky Liow yang sedang diburu./ Gambar FB Polis Johor
Turut dituduh di bawah pertuduhan yang sama, iaitu Seksyen 130V Kanun Keseksaan ialah 13 individu lain, termasuk dua adik Nicky iaitu Datuk Liow Wei Loon, dan Datuk Liow Wei Kin.

“Ketua Geng Nicky iaitu Datuk Seri Nicky Liow bersama dengan pembantu peribadinya yang juga ahli Geng Nicky iaitu seorang wanita warganegara China bernama Niu Zhe dituduh di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun. Pertuduhan mereka dibuat secara in absentia kerana kedua-duanya masih lagi bebas,” katanya dalam kenyataan akhbar.

Mengikut kertas pertuduhan, Nicky dan 14 individu lain, termasuk dua orang adiknya Datuk Liow Wei Loon, dan Datuk Liow Wei Kin, dituduh di bawah subseksyen 130V(1) Kanun Keseksaan, kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, dan boleh dihukum di bawah subseksyen yang sama,

Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman tidak kurang daripada lima tahun penjara, dan tidak melebih 20 tahun penjara.

Seorang lagi individu, Lim Kim Ming pula dituduh di bawah subseksyen 130W Kanun Keseksaan kerana membantu kumpulan jenayah terancang.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman tempoh pemenjaraan sehingga 10 tahun.

Pertuduhan Timbalan Pendakwa Raya Kamalh Bahrin Omar ke atas semua suspek, dilakukan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jamaluddin Mat.

Sementara itu, Astro Awani melaporkan salah seorang peguam bela suspek, Datuk Rajpal Singh memberitahu media, pihaknya cuba mendapatkan ikat jamin atas alasan terdapat anak guamannya yang mempunyai kesihatan mental, serta ada yang mengandung.

Namun, katanya lagi, mahkamah telah menolak permohonan berkenaan, dan memberi tempoh masa dua minggu kepada pendakwaan untuk sebutan kes di peringkat Mahkamah Tinggi.

Berita Penuh :https://utusantv.com/2021/04/09/nicky-tuduh2/