Gempar !!! Zahid beri bayangan jajaran baru bersama PKR

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membayangkan bakal terbentuk jajaran baharu politik bersama PKR dan DAP yang akan dikenali sebagai Perikatan 3.0 dan bukannya Perikatan Nasional (PN) semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Pendedahan terbuka Zahid itu secara tidak langsung mengukuhkan lagi khabar angin sebelum ini dengan menyifatkan langkah tersebut diambil sesuai dengan dinamik politik yang sedang berlaku mengikut perubahan dan keadaan politik semasa negara.

“Kedinamikan politik pasti berlaku saya lihat…saya bukan seorang nujum politik tetapi saya yakin kalau mahu disebut hala tuju atau kedinamikan itu kita lihat, selepas PRU15, sama ada ia akan diadakan dalam waktu terdekat, atau dalam tempoh yang hanya Allah Taala sahaja tahu kerana kalau mengikut cukup tempoh pilihan raya adalah pada tahun 2023.

“Pada ketika itu, saya hampir pasti bahawa akan ada sesuatu yang akan berlaku kepada UMNO, sebagai sebuah parti induk orang Melayu dan Islam, di mana ketika itu akan ada Perikatan 3.0 bukan Perikatan Nasional,” katanya semasa wawancara Program 75 Tahun Jubli Intan anjuran UMNO Online malam tadi.

Tegas Zahid, jajaran baharu itu tidak melibatkan PN yang ada sekarang bagaimanapun beliau tidak mendedahkan parti yang akan bersama dalam gabungan baharu itu.

Namun, sebelum ini beberapa pemimpin parti mendakwa Zahid sedang berusaha untuk membawa UMNO duduk serumah bersama PKR dan DAP.

Khabar angin juga semakin kuat kedengaran Zahid adalah perancang utama untuk menjayakan kerjasama antara UMNO dengan blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRU15 nanti.

Malah, klip audio tular Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Zahid juga membuktikan wujud pakatan sulit antara kedua-dua individu untuk memastikan gerakan rahsia tersebut berjaya.

Dalam pada itu, DAP sudah memberi ‘lampu hijau’ kepada UMNO untuk menjalinkan jajaran baharu politik itu namun perlu menerima calon perdana menteri daripada PH, iaitu Anwar sekiranya mahu bekerjasama.

Mengimbas kembali sejarah kedinamikan politik tanah air, Zahid berkata penubuhan parti Perikatan dahulu juga tidak statik sifatnya, dan ia berubah mengikut perubahan politik semasa.

“Kita harus, melihat kewujudan parti Perikatan yang merupakan payung bukan sahaja kepada UMNO tetapi sebagai parti-parti komponen ketika itu, tidak merupakan sebuah gabungan yang statik betulnya, apabila Barisan Nasional (BN) diwujudkan ianya merupakan perikatan 2.0.

“Jadi ini merupakan langkah yang baharu, di mana kita lihat sunnatullah telah menentukan bahawa masyarakat Malaysia penuh dengan kemajmukan,” jelasnya.

Sumber : https://www.agendadaily.com/politik/zahid-beri-bayangan-jajaran-baharu-perikatan-3-0-bersama-pkr-dap/