Gempar !!! Semakan dapati 7 pesawat dari India mendarat di KLIA walau menteri kata ada sekatan

Sekurang-kurangnya tujuh pesawat yang berlepas dari India dikesan telah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak semalam sekali gus mengundang kebimbangan penularan varian baharu Covid-19 dari negara itu.

Hari ini sahaja terdapat tiga ketibaan pesawat penumpang dari India iaitu Chennai dengan pesawat MH6241 pada 4.45 petang diikuti penerbangan dari Delhi (MH190) pada 6.50 petang.

Turut dikesan penerbangan penumpang dari Mumbai (MH6245) yang dijadualkan tiba di KLIA pada 8.35 malam ini.

Semalam pula, empat pesawat dari India mendarat di KLIA iaitu dari Delhi (MH 191), Bengaluru (MH193), Mumbai (MH195) dan Chennai (MH181).

Ketibaan pesawat dari India itu sekali gus dilihat bercanggah dengan keputusan kerajaan yang memutuskan untuk menyekat sementara semua penerbangan keluar masuk dari India berkuat kuasa 28 April lalu.

Pada 26 April lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataannya berkata, mana-mana pengembara yang memulakan perjalanan dari mana-mana destinasi di India sama ada menaiki penerbangan secara terus atau transit untuk ke Malaysia, dilarang memasuki Malaysia.

“Larangan ini turut terpakai bagi penumpang yang transit di Malaysia untuk ke negara ketiga. Bagaimanapun, pengecualian akan diberikan kepada warganegara Malaysia,” katanya.

Turut dikenakan sekatan ialah pekerja asing dari India yang mempunyai pemegang pas lawatan kerja sementara (PLKS) yang masih sah laku, pelajar warganegara India dan pelawat perniagaan antarabangsa.

Bagi warganegara Malaysia sama ada pelajar, pekerja, pasangan dan anak kepada warganegara Malaysia yang tinggal di India dan kumpulan keagamaan yang berada di India, mereka dibenarkan memasuki Malaysia dengan prosedur kuarantin wajib selama 14 hari.

Prosedur sama juga terpakai untuk bukan warganegara yang merupakan pasangan kepada warganegara Malaysia.

Terdahulu, Kanada antara yang telah menggantung semua penerbangan penumpang dari India selama 30 hari bermula 22 April lalu ekoran lonjakan kes jangkitan Covid-19 secara mendadak membabitkan pengembara dari negara itu.

Penggantungan itu bagaimanapun tidak termasuk penerbangan kargo bagi memastikan penghantaran berterusan vaksin, pakaian pelindung diri (PPE) dan barang keperluan lain.

Mutasi berganda

Namun, akibat penerbangan masuk dari India yang tidak disekat, Malaysia merekodkan kes pertama kemasukan varian Covid-19 dari negara itu dengan mutasi berganda dikenali sebagai B.1.617.1.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam kenyataan hari ini memaklumkan mutasi itu dikenal pasti hasil analisis keseluruhan jujukan genom (WGS), selepas saringan dibuat di pintu masuk utama negara, KLIA.

Tanpa memperincikan butiran lanjut, menteri Umno itu berkata, kes mutasi berganda yang difahamkan menyumbang hampir 60 peratus daripada penularan secara besar-besaran di India ketika ini dikesan menerusi seorang warga republik itu.

Selain satu kes varian India B.1.617, Adham berkata setakat ini terdapat 48 kes varian Afrika Selatan, B.1.351 direkodkan, UK B.1.1.7 (8 kes), Nigeria B. 1.525 (2 kes) serta satu kes nasabah C (C.36) daripada seorang individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Mesir.

Varian mutasi berganda, B.1.617.1 mula ditemui di India pada 27 April lalu dan laporan Inisiatif Global mengenai Perkongsian Semua Data Influenza (GISAID) mendapati ia menular di sekurang-kurangnya 17 negara di seluruh dunia, tiga hari kemudian.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan mutasi berganda dari India itu mempunyai kadar pertumbuhan virus Covid-19 yang lebih tinggi, berbanding varian sedia ada di republik berkenaan, sekali gus dikhuatiri menjadi punca utama peningkatan jangkitan secara mendadak.

Mayat bertimbun di India memaksa pembakaran dilakukan secara besar-besaran.
Terlalu angkuh

India dengan populasinya sebanyak 1.4 bilion orang sedang berdepan lonjakan mendadak kes jangkitan Covid-19 yang didakwa mencetuskan varian ‘mutan berganda’ dan ‘perebak utama’ (super spreader).

Pada masa ini, hampir 20 juta individu di negara itu telah dijangkiti Covid-19 dengan lebih 215,000 kes kematian direkodkan.

Negara di Asia Selatan itu sekarang berada di tangga kedua kes positif Covid-19 tertinggi di dunia dengan ramai pesakit mati di perkarangan hospital tanpa sempat dirawat.

Agensi dipetik melaporkan katil hospital dan bekalan oksigen bagi rawatan pernafasan tidak mencukupi manakala tanah perkuburan dan pusat pembakaran mayat tidak berhenti beroperasi.

Bahkan, negara yang digelar ‘farmasi global’ lantaran status sebagai pengeluar vaksin terbesar di dunia itu menyaksikan kawasan terbuka seperti lot parkir menjadi pusat pembakaran mayat!

Perdana Menteri Narendra Modi dan partinya, Parti Bharatiya Janata (BJP) pada awal Februari lalu dilihat terlalu angkuh apabila mengumumkan sudah berjaya memerangi pandemik.

India turut melonggarkan perintah kawalan dan mengadakan kempen pilihan raya besar-besaran ketika kes Covid-19 sedang melonjak.

Bahkan, kerajaan India disokong promosi oleh BJP membenarkan pesta keagamaan, Kumbh Mela beberapa hari berlangsung dengan jutaan penganut Hindu berhimpun.

Semalam, kira-kira 2,600 penganut yang menyertai Kumbh Mela dikesan positif Covid-19 daripada hampir dua juta ujian saringan yang dilakukan oleh kakitangan perubatan.

Krisis kesihatan akibat Covid-19 semakin buruk di India dengan lebih ramai pesakit mati.

Sumber : https://malaysiadateline.com/tujuh-pesawat-mendarat-di-klia-walau-kerajaan-kata-sekat-penerbangan-dari-india/

COMMENTS

Wordpress (0)