Gempar !!! PM bakal lakukan rombakan kabinet?

PM bakal lakukan rombakan kabinet.Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bakal mengumumkan rombakan Kabinet pertamanya sejak memegang jawatan utama itu pada Ogos lalu, yang mungkin menjadi ujian sejauh mana beliau berjaya dalam memimpin gabungan kerajaan itu ketika perbalahan antara Bersatu dan kumpulan Umno diketuai Najib Razak terus memuncak, MalaysiaNow difahamkan.

Difahamkan rombakan Kabinet itu mungkin berlaku seawal bulan depan walaupun satu sumber dalaman Umno berkata rombakan barisan anggota Kabinet tersebut tidak akan dilaksanakan secara besar-besaran.

Bagaimanapun tumpuan akan diberikan kepada Bersatu, menteri dan timbalan menteri dari Perikatan Nasional (PN).

Sebarang perubahan dari sudut keseimbangan parti-parti dalam Kabinet ketika ini perlu memastikan gabungan kerajaan itu tetap utuh walaupun perbalahan dan serangan terus berlaku terutamanya antara Umno dan Bersatu.

Dari sudut itu, sumber rapat dengan pentadbiran Ismail memaklumkan kepada MalaysiaNow usahanya untuk mengimbangi antara kedua-dua gabungan itu bagi mengekalkan kesatuan Kabinetnya lebih sukar daripada apa yang pernah dialami Dr Mahathir Mohamad.

“Dalam kes Mahathir, wujud perbalahan yang berterusan antara Bersatu dan PKR, namun semua itu didiamkan walaupun kesatuan yang ditunjukkan itu terbukti tidak kekal lama.

“Bagi Ismail pula, beliau perlu berdepan dengan pimpinan partinya yang berterusan menyerang menteri-menteri yang ada dalam Kabinet beliau. Kemenangan Umno di Melaka baru-baru ini menyebabkan tekanan semakin hebat terhadap Ismail untuk mengenepikan sekali gus meletakkan menteri-menteri dari PN ke jawatan yang lebih rendah,” kata sumber itu.

Baru-baru ini, Najib melancarkan serangan terbuka terhadap Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz ketika bekas perdana menteri itu meningkatkan gesaan supaya kerajaan membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Usahlah dengar nasihat menteri kewangan ketinggalan zaman PN,” kata Najib.

Akan tetapi mengenepikan parti-parti selain Umno adalah tindakan “bunuh diri” bagi Ismail ketika lebih 50 ahli Parlimen PN adalah antara yang menyokong dan sekali gus memastikan beliau memegang jawatan perdana menteri.

Satu sumber mengatakan walaupun Ismail menjadi “perdana menteri secara kebetulan”, beliau sedar kesan politik jika dilihat cenderung bersama atau bersekutu dengan Najib.

“Setakat ini, beliau berjaya tunjukkan dirinya tidak dengar apa yang diperkatakan Bossku,” kata sumber itu, merujuk gelaran yang digunakan Najib.

“Beliau juga hanya berikan peranan kecil kepada Najib sebagai penasihat ekonomi, sementara Muhyiddin yang merupakan musuh utama Najib diberikan kuasa besar dengan jawatan penting menangani pelan pemulihan pasca pandemik.

“Dengan nasib politik Najib, begitu juga Zahid dilihat malap ekoran perbicaraan kes rasuah mereka, Ismail tahu bagaimana untuk tangani suara-suara dari luar,” tambahnya.

Sama ada rombakan akan menjejaskan kedudukan PN dalam jawatan utama Kabinet hanya satu bahagian daripada isu itu.

Ismail juga perlu menguruskan kumpulan anti Najib yang wujud dalam Umno, kata sumber itu lagi.

“Mereka termasuk Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin, Shahidan Kassim, Annuar Musa, belum lagi pemimpin-pemimpin parti komponen (BN) yang sudah menunjukkan mereka tidak mahu dipimpin Najib dan Zahid.”

Kebanyakan anggota Kabinet Umno, MCA dan MIC menolak cadangan Najib dan Zahid untuk keluar daripada kerajaan yang dipimpin Muhyiddin ketika kemuncak kempen dua pemimpin Umno itu bagi menumbangkan kerajaan PN Julai lalu.

Dengan sabitan mahkamah bahawa Najib bersalah dalam kes rasuahnya, sementara Zahid juga dilihat bakal menerima nasib yang sama, Ismail memiliki peluang untuk meneruskan tugasnya sebagai perdana menteri sehingga pilihan raya umum yang mesti diadakan dalam tempoh 17 bulan dari sekarang.

Sehingga saat itu, sama ada beliau akan menjadi perdana menteri paling singkat dalam sejarah masih belum dapat dipastikan.

BACA JUGA :

[Video] Terkini !!! Jeli mula dinaiki air
Peningkatan suhu global, Tun M ingatkan rakyat bersedia hadapi lebih banyak bencana alam
Persatuan Penduduk dedah kebun durian haram di Bukti cherakah masih aktif walau sudah ada notis amaran

Artikel ini disiarkan pada 30/12/2021

COMMENTS

Wordpress (0)