Gempar !!! Penilai tender dedah rahsia cara pegawai curi duit projek kerajaan

Gempar !!! Penilai tender dedah rahsia cara pegawai curi duit projek kerajaan

TALI BARUT kepada kartel yang memonopoli projek kerajaan bernilai RM3.8 bilion sanggup membuat tuduhan palsu untuk menghalang kegiatan mereka terbongkar, kata seorang mangsa.

Individu tersebut yang merupakan salah seorang pegawai tender yang terlibat dalam beberapa projek kerajaan melibatkan kartel tersebut tampil mendedahkannya dalam satu program bual bicara.

Pegawai berkenaan yang memperkenal dirinya sebagai Dr Q itu berkata, ia berkait dengan penilaiannya untuk satu tender projek di Kuala Lumpur.

Beliau yang bercakap dalam program Anekdot: Menyelami Pengalaman Mangsa Kartel berkata beliau menolak tender tersebut kerana melibatkan kes sijil palsu.

“Kita tahu dia tidak layak. Dia buat sijil palsu, saya ada bukti dia buat sijil palsu. Saya kenal salah seorang daripadanya memang tak ada kelulusan tetapi dia (kemuka) diploma, banyak.

“Ada ijazah itu ijazah ini. Kita tahu syarikat ini sudah bertapak lama di Putrajaya. Sudah banyak kementerian dia masuk, tapi dia guna sijil palsu. Jadi takkan saya hendak luluskan?

Katanya beliau seterusnya menyokong syarikat lain yang lebih layak kerana mengemukakan kelulusan yang betul.

“Takkan kita hendak bagi kepada orang sama lagi (yang sudah dapat projek) bertahun-tahun. Sedangkan kita tahu ada penipuan berlaku.

Disebabkan keputusannya itu, timbul tuduhan oleh seorang pegawai dalam jabatan terbabit yang mendakwa beliau mencuri komputer jabatan, katanya.

Seterusnya beliau ditukarkan untuk menutup mulutnya mengenai penyelewengan dalam projek berkenaan, yang diluluskan tanpa rundingan daripadanya.

Beliau yang tidak berpuas hati dengan tuduhan tersebut kemudian membuat laporan polis dan kepada unit integriti jabatan, namun kemudian kes tersebut tidak dimajukan.

“Tapi untuk menutup mulut kita, dia aniaya kita macam itulah… Kes saya itu disenyapkan di peringkat pengarah,” katanya.

Beliau yang tidak menamakan pegawai kanan itu berkata, kes tersebut berlaku dalam kementerian yang pada waktu itu dipimpin Mahdzir Khalid.

Mahdzir pernah mengetuai Kementerian Pendidikan dan kemudiannya Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Sewaktu ditanya oleh pengendali rancangan Sayed Munawar, Dr Q berkata beliau juga mengesan berlaku penyelewengan apabila mendapati terdapat kontraktor sukar menuntut bayaran.

Beliau hairan kerana kelewatan itu berlaku kerana sesuatu projek hanya akan dapat dilaksanakan apabila wang tersebut sudahpun diperolehi dalam akaun jabatan, katanya lagi.

“Projek dijalankan kerana ada kelulusan duit sudah ada dalam akaun. Jadi apabila duit ada dalam akaun baru projek jalan.

“Tak ada pegawai yang berani jalankan projek kalau tidak ada surat kelulusan dari kewangan yang duit sudah ada dalam akaun. (Jika tidak) siapa akan bayar?

“Jadi apabila ada hotel tak dapat duit, kontraktor tak dapat duit, ia disebabkan pegawai itu sendiri,” katanya.

Tindakan beliau seterusnya membolehkan hotel tersebut menerima bayaran dengan cepat dan tidak perlu menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkannya, kata Dr Q.

Beliau seterusnya mendedahkan, hotel tersebut menawarkan untuk membayar jumlah lebihan terus berjumlah RM40,000 ke akaunnya sedangkan bayaran itu sepatutnya dibayarkan kepada kerajaan.

“Saya terkejut apabila hotel tanya, puan mahu cash atau masuk akaun?” katanya yang menambah beliau menegaskan wang itu dikembalikan kepada kerajaan.

Beliau juga mendapat tahu, hotel berkenaan sejak 30 tahun lalu akan membayar lebihan kepada pengurus projek terlibat dan bukannya kembali ke akaun kerajaan.

Dr Q juga berkata, beliau gembira apabila kartel terbabit dilumpuhkan awal bulan ini oleh agensi antirasuah.

Operasi ke atas kartel sindiket yang memonopoli projek kerajaan bernilai RM3.8 bilion itu membolehkan akaun bank dan harta bernilai hampir RM150 juta disita dalam siasatan setakat ini.

Mereka menemui wang tunai berjumlah RM3.5 juta dalam simpanan seorang individu bergelar Datuk yang disyaki ketua sindiket itu.

Turut disita kenderaan mewah bernilai RM15.7 juta dan hartanah termasuk banglo, rumah kedai serta pejabat bernilai RM29 juta.

Selain pemilikan hartanah dan wang tunai luar biasa, serbuan sejak semalam di rumah individu berusia 47 tahun itu juga menemukan kereta dan kapal mewah, selain dua helikopter.

Sebanyak 644 akaun individu dan syarikat yang dianggarkan bernilai RM100 juta turut dibekukan

Berita Penuh :https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/310481