GEMPAR | Khazanah lupus aset, saham lebih RM8 bilion sejak Mac lepas

Sejumlah kira-kira RM8.03 bilion aset dan pegangan saham Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dilupuskan mulai Mac hingga Sept lalu.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata dalam tempoh tersebut aset yang dilupus itu membabitkan pelbagai sektor termasuk perbankan, teknologi, kesihatan, tenaga dan telekomunikasi yang terletak di dalam dan luar negara.

Katanya antara aset yang dilupuskan ialah dalam Ping An Healthcare and Technologies, Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia Berhad, Alibaba Group Holding dan Prince Court Medical Centre.

“Pelupusan ini termasuk urus niaga jualan tertutup (private sale), pasaran sekunder terbuka (open secondary market) dan penempatan saham (placements) serta aktiviti korporat (corporate action exercises) seperti pertukaran saham dan pengurangan modal,” katanya.

Tengku Zafrul berkata demikian sebagai menjawab soalan Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) berhubung aset alih dan aset tidak alih Khazanah yang dilupuskan sejak Mac sehingga Oktober 2020.

Jawapan tersebut dijawab secara bertulis oleh Tengku Zafrul.

Kata Tengku Zafrul segala pelupusan yang dilaksanakan merupakan aktiviti operasi biasa Khazanah.

“Memandangkan tidak menerima sebarang suntikan dana berkala daripada kerajaan, Khazanah menggunakan hasil pelupusan tersebut bagi membiayai pelaburan baru serta membayar balik hutangnya yang telah mencapai tempoh matang.

“Selaku syarikat dana pelaburan negara (sovereign wealth fund) yang memegang kepentingan dalam syarikat yang terlibat dalam pelbagai sektor dan industri, Khazanah akan mempertimbangkan peluang pelupusan aset sebaik sahaja aset tersebut mencapai objektif pelaburan dan pulangan sasarannya,” kata Tengku Zafrul.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/557145

COMMENTS

Wordpress (0)