Gempar !!! Isu audio Anwar-Zahid bakal gegarkan mesyuarat Umno esok, menurut sumber

Gempar !!! Isu audio Anwar-Zahid bakal gegarkan mesyuarat Umno esok, menurut sumber

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno esok dijangka akan memberi perhatian kepada beberapa isu utama yang akan menentukan hala tuju parti itu selepas Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 akhir bulan lalu.

Menurut sumber parti itu, antara agenda utama mesyuarat MT Ahad ini ialah mengenai keputusan untuk penangguhan pemilihan Umno yang sepatutnya berlangsung Jun ini.

“Mesyuarat MT Ahad ini akan membuat keputusan untuk menangguh pemilihan parti itu.

“Menangguhkan pemilihan parti sehingga Disember 2022 jika mendapat kelulusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS). Itu semua akan diputuskan Ahad ini,” katanya kepada Malaysiakini.

PAU 2020 pada 28 Mac lalu, membuat ketetapan untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Pada PAU itu juga Umno memutuskan untuk menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada satu tarikh yang akan ditetapkan.

Begitu juga terdapat gesaan supaya menteri Umno dalam kabinet agar meletak jawatan.

Dalam pada itu sumber memaklumkan mesyuarat MT Umno juga akan membuat ketetapan tentang satu tarikh khusus untuk ahli parlimen Umno menarik sokongan daripada PN.

“Mesyuarat MT Umno juga dijangka akan membincangkan keputusan PAU yang telah bersetuju untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu.

“Walaupun tiada dalam agenda, namun ia pasti akan dibangkitkan supaya Umno menetapkan satu tarikh untuk menteri Umno meletak jawatan dan ahli Parlimen menarik sokongan.

“Ada yang mahukan supaya sokongan ditarik dalam tempoh terdekat,” katanya lagi.

Sementara itu, sumber dari kem yang tidak sehaluan dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi pula berkata isu rakaman suara yang dikaitkan dengan pemimpin utama parti turut akan dibangkitkan.

Katanya, ahli MT Umno pasti akan membangkitkan isu berkenaan supaya Zahid memberi penjelasan sewajarnya.

“Sudah pasti kita mahukan penjelasan sewajarnya kerana ia berkait dengan hala tuju dan ketetapan parti yang menolak sebarang kerjasama dengan PKR dan DAP.

“Presiden bukan saja perlu menyakinkan MT bahawa rakaman itu tidak benar, sudah pasti ahli MT mahukan penjelasan sewajarnya,” katanya.

Sebelum ini tular rakaman audio melibatkan dua individu yang suaranya mirip Ahmad Zahid dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Suara berkenaan didengar bercakap mengenai Perhimpunan Agung Umno dan ucapan Zahid semasa perhimpunan berkenaan.

Kedua-dua mereka bagaimanapun menafikan kesahihan klip audio berkenaan.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/571972