Gempar !!! Ibrahim Ali mengaku terima cek dari Najib

Gempar !!! Ibrahim Ali mengaku terima cek dari Najib

Ahli politik veteran Ibrahim Ali mengaku menerima cek daripada Najib Razak namun menjelaskan dia tidak sedar ia mempunyai kaitan dengan wang 1MDB atau SRC International Sdn Bhd (SRC).

“Saya mengaku telah menerima sekeping cek personal Datuk Seri Najib yang tertera nama beliau pada cek tersebut, yang tidak saya sedar sama sekali ia berkait dengan wang SRC mahupun 1MDB sebab tiada nama SRC mahupun 1MDB di cek tersebut.

“Saya tidak ingat bila terimanya tetapi yang pasti sebelum isu 1MDB terbongkar selepas PRU ke-13.

“Jika sudah terbongkar, pastinya saya tidak akan mahu menerimanya dan Datuk Seri Najib sendiri tidak akan menggunakan lagi akaun tersebut lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC memfailkan saman sivil terhadap beberapa personaliti yang dididakwa menipu firma milik negara itu.

Mereka juga menyaman entiti yang mungkin tidak melakukan penipuan tetapi terlibat dalam proses itu – secara sedar atau tidak.

Antara yang dinamakan termasuk bekas perdana menteri Najib Razak, bekas pengerusi 1MDB, Che Lodin Wok Kamaruddin dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Mohd Hazem Abdul Rahman dan Arul Kanda Kandasamy.

Beberapa anggota keluarga Jho Low juga dinamakan, termasuk ayahnya Larry Low Hock Peng dan kakaknya Low May Lin.

Ibrahim dinamakan dalam saman anak syarikat SRC – GMSB and JPSB – yang mendakwa terdapat 14 pihak menerima wang SRC, termasuk Najib dan Umno Selangor.

Mengulas lanjut Ibrahim berkata, cek itu diterima selepas dia meminta Najib – masih menjadi perdana menteri ketika itu – untuk membantu menyelesaikan masalah kewangan dihadapinya.

Jelas bekas ahli parlimen Pasir Mas itu lagi, sepanjang tempoh lima tahun dia menjadi ahli parlimen bebas yang mesra BN sehingga PRU ke-13 dia tidak mendapat sebarang peruntukan khas.

“Selesai PRU ke-13, saya berjumpa Najib untuk minta bantu selesaikan masalah kewangan yang telah banyak dibelanjakan sepanjang lima tahun tersebut termasuk ketika bertanding PRU.

“Apa lagi saya adalah calon friendly BN yang mana calon BN (Umno) menarik diri secara tidak langsung mengizinkan saya bertanding satu lawan satu dengan calon PAS.

“Beliau setuju membantu pada fikiran saya kerana saya ahli parlimen bebas yang mesra sebelum itu.

“Saya tidak ambil tahu dana mana dia ambil bantu saya. Mungkin dari tabung Umno atau BN. Atau wang peribadinya,” kata Ibrahim.

Dia juga berkata tidak ada sebab untuknya menolak bantuan yang dihulurkan Najib dan sudah tentu dia tidak menyoal siasat dari mana dana berkenaan diambil.

Jelas Ibrahim lagi, sumbangan Najib dibelanjakan untuk membiayai program-program rakyat di Pasir Mas, bukannya untuk perbelanjaan peribadi.

Selaku Presiden Perkasa katanya dia adalah antara pihak terawal mendesak agar kerajaan mewujudkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyiasat skandal 1MDB.

Pada masa sama Ibrahim berkata dia sedia berdepan dengan saman berkenaan dan menyerahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

Selepas ini kata bekas timbala menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, kenyataan mengenai isu berkenaan hanya akan dijawab oleh peguamnya.

“Saya sedia tunggu saman tersebut dan bersedia menjawab di mahkamah. Biarkanlah Mahkamah tentukan saya wajar memulangkan semula atau tidak kerana saya telah membelanjakan semuanya ketika saya tidak mengetahui sama sekali duit itu dari sumber salah,” katanya lagi.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/574231