Gempar!!! AMANAH akan timbang kerjasama dengan Umno

Gempar!!! AMANAH akan timbang kerjasama dengan Umno

AMANAH sedia untuk mempertimbangkan kerjasama politik dengan mana-mana parti termasuk Umno selepas pilihan raya umum nanti dengan syarat rakan-rakannya dalam Pakatan Harapan bersetuju dengannya.

Namun begitu, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Salahuddin Ayub, untuk pilihan raya umum akan datang ini AMANAH mahu kekalkan kerjasamanya dengan parti-parti Pakatan Harapan dahulu iaitu PKR dan DAP kecuali ada perkembangan baru mengenai kerjasama ini.

Bagi beliau, Pakatan Harapan adalah satu-satunya harapan yang ada kepada rakyat selepas terbukti melalui tiga era pemerintahan negara, Barisan Nasional, PH dan sekarang ini Perikatan Nasional.

BN dikatakan jatuh kerana kerajaannya korup manakala PN pula bakal jatuh kerana kerajaannya adalah kerajaan yang gagal.

“Kita akan memastikan Datuk Seri Anwar adalah perdana menteri selepas pilihan raya nanti sebagaimana yang telah kita janjikan,” kata Salahuddin dalam satu wawancara khas dengan beliau.

Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini berkata, tidak mustahil Umno bekerjasama dengan pihak atau parti yang telah dilabel sebagai ‘musuh’ politiknya, seperti DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) ataupun AMANAH.

Kata Ahli Parlimen Pekan itu, parti yang pernah beliau pimpin selama sembilan tahun itu, sememangnya mengamalkan pendirian terbuka kepada semua pilihan, namun ia haruslah mendapat persetujuan pemimpin dan akar umbi.

Mengulas hal ini, Salahuddin berbeza pandangan dengan sesetengah rakannya dalam AMANAH sendiri dengan berkata, politik adalah art of posible (politik ini adalah seni serba mungkin).

“Saya beranggapan bahawa, atas parameter tertentu, demi rakyat dan negara, kita pula sedang hadapi Covid-19, kita boleh mengadakan kerjasama dengan siapa sahaja.

“Mungkin selepas PRU 15, mungkin berlaku atas dinamika politik, atau orang sebut hari ini penjajaran baru politik di Malaysia,” kata bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu.

Bagi Salahuddin, semua pihak harus menghentikan politik permusuhan.

“Kita harus melihat ke hadapan tentang dinamika ini dan parti-parti sekecil mana pun penting untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil kerana ini yang diperlukan rakyat sekarang.

“Letakkan noktah kepada langkah Sheraton atau langkah yang memalukan seumpama itu.

“Jadi untuk dengan Umno ini kita boleh membuka ruang dan dengan parameter tertentu kita boleh bekerjasama dalam beberapa agenda penting untuk negara.

“Saya sangat optimis, bukan sahaja dengan Umno bahkan dengan mana-mana parti politik, bahawa dengan panjajaran baru politik Malaysia ini bukan sahaja menjadikan politik Malaysia lebih dinamik dan yang untungnya adalah rakyat dan negara kita Malaysia,” kata Salahuddin lagi.

Ketika ditanya apakah AMANAH sedia bekerjasama dengan pemimpin Umno yang sedang dibicarakan di mahkamah dengan pelbagai pertuduhan dan setengahnya sudah didapati bersalah, ahli parlimen Pulai itu berkata, “biarlah mahkamah yang selesaikan tugasnya mengenai perkara itu.”

“Kita tidak akan campur tangan dalam urusan mahkamah dan biarlah ia begitu tanpa campur tangan mana-mana pihak. Biarkan badan kehakiman menjalankan tugas mereka,” kata Salahuddin lagi.

Ketika ditanya, apakah AMANAH sudah melupakan apa yang Umno buat kepada parti-parti pembangkang dahulu, Salahuddin berkata, “Itu dahulu”.

“Jadi kalau kita melihat ke belakang dan sejarah hitam kita, bila kita mahu melangkah ke hadapan. Bagi jenerasi baru dan Malaysia baru, mereka mahu melihat dinamika politik baru.

“Kepada ahli politik, saya berharap juga berlaku penjajaran pemikiran politik di kalangan pemimpin politik negara samada AMANAH, PKR, Bersatu, Umno, Pas hatta DAP supaya kita dapat melihat penjajaran politik baru tetapi dengan parameter yang jelas supaya rakyat tidak rugi kerananya,” kata beliau.

Berita Penuh :https://malaysiadateline.com/amanah-sedia-timbang-kerjasama-dengan-umno-kata-salahuddin/