Gempar !!! Ahmad Maslan dedah strategi Zahid

Ahmad Maslan

Ahmad Maslan dedah strategi Zahid. Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi telah bersumpah di hadapan beberapa ahli Parlimen parti itu bahawa beliau tidak akan menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau menjadi saksi bahawa Ahmad Zahid melafazkan sumpah tersebut termasuk menolak kerjasama dengan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan DAP.

“Baru-baru ini ada pertemuan dengan presiden (Ahmad Zahid) dan saya ingin mengatakan di sini bahawa apabila ada tuduhan yang beliau ingin membawa UMNO ini bersama PH dan DAP.

“Presiden UMNO telah bersumpah Wallahi, Wabillahi, Watallahi bahawa beliau tidak akan menyokong Anwar untuk jadi perdana menteri dan tidak akan bersama dengan PH dan DAP di hadapan beberapa ahli Parlimen.

“Saya ada ketika itu, ini baru lagi baru sehari dua yang lalu. Jadi tuduhan terhadap beliau itu adalah yang tidak berasas,” katanya dalam program bual bicara secara maya di NRChannel TV pada Selasa.

Ahmad Maslan

Sementara itu, Ahmad turut menafikan dakwaan bahawa Anwar bakal menjadi perdana menteri kerana Ahli Parlimen Port Dickson itu tidak mempunyai sokongan majoriti.

“Dia (Anwar) hanya ada 105 (ahli Parlimen). Itu pun tidak mencapai 111 dan UMNO tidak akan sokong dia. UMNO yang ada 15 (ahli Parlimen UMNO) itu tidak akan sokong mereka. Presiden tidak akan membawa untuk sokong mereka,” ujarnya.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, UMNO menyerahkan keputusan untuk melantik perdana menteri yang baharu kepada Yang di-Pertuan Agong sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin terbukti hilang majoriti untuk mengetuai kerajaan.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan bahawa Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menolak tawaran jawatan timbalan perdana menteri kerana menghormati keputusan parti.

Jelasnya, jawatan tersebut hanya diberikan kepada UMNO beberapa jam sebelum parti itu membuat keputusan menarik sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN).

“UMNO mencadangkan agar jawatan timbalan perdana menteri diberikan sejak Oktober lalu dalam rundingan bersama Muhyiddin namun ia tidak diendahkan.

“Ini kawan apa namanya? Bukan jawatan yang kami kejar tapi keikhlasan,” katanya.

Menurutnya, selain daripada jawatan timbalan perdana menteri, UMNO juga mengusulkan beberapa cadangan lain sejak Oktober lalu antaranya seperti penubuhan majlis presiden untuk menangani Covid-19 dan pemulihan ekonomi.

Pada 7 Julai lalu, Ahmad Zahid mengumumkan UMNO terpaksa menarik balik sokongan yang diberikan terhadap Muhyiddin dengan serta merta ekoran daripada kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menangani penularan Covid-19.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/154772/BERITA/Politik/Ahmad-Zahid-bersumpah-tak-sokong-Anwar-jadi-PM

BACA: 2 lagi ditahan Polis kerana ‘hina’ Sanusi