Gempar | Ahli parlimen Umno umum tidak bertanding PRU 15

Gempar | Ahli parlimen Umno umum tidak bertanding PRU 15

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Ahmad Hamzah menegaskan beliau tidak akan bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen Jasin yang disandangnya sejak 2008 pada pilihan raya umum Ke-15 (PRU15).

Ahmad, 72, yang juga Ahli Parlimen Jasin berkata hasrat beliau itu dinyatakan kepada Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Ab Rauf Yusoh baru-baru ini.

“Saya sudah berbincang dengan ahli keluarga dan rakan-rakan mengenai hasrat ini dan keputusan ini diambil berikutan faktor kesihatan selain sedar landskap politik negara pada ketika ini telah berubah.

“Sudah tiba masanya, kita memberi peluang kepada calon muka baharu untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya pada sidang akhbar di kediamannya di Umbai.

Beliau berkata tempoh berkhidmat sebagai wakil rakyat selama enam penggal iaitu sebagai ADUN Serkam (1995 hingga 2008) dan Ahli Parlimen Jasin (2008 hingga kini) dilihat memadai dan sudah tiba masanya untuk beliau bersara daripada dunia politik.

Semalam, sebuah akhbar berbahasa Melayu melaporkan bahawa Ahmad berhasrat untuk mempertahankan kerusi Parlimen Jasin dalam PRU15 akan datang, selain mendakwa beliau berusaha melobi untuk mendapatkan sokongan agar dipilih sebagai calon.

Ahmad bagaimanapun menjelaskan, isu melobi sepatutnya tidak timbul dan dakwaan itu jelas tidak bertanggungjawab serta mencabar kredibilitinya sebagai timbalan menteri, selain memberi gambaran negatif terhadap dirinya serta dilihat boleh mengeruhkan situasi politik yang tidak menentu ketika ini.

Sehubungan itu, pihaknya menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada akhbar terbabit dalam tempoh seminggu dan telah membuat laporan polis berhubung artikel berkenaan, semalam.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/26/timbalan-menteri-penyandang-kerusi-parlimen-jasin-umum-tidak-bertanding-pru-15/