Gara-gara tolak pelawaan adakan hubungan seks, wanita diserang teman lelaki

Gara-gara tolak pelawaan adakan hubungan seks, wanita diserang teman lelaki.Seorang wanita ditimpa malang apabila dibelasah oleh teman lelakinya selepas menolak pelawaannya mengadakan hubungan seks.

Mangsa diserang suspek di sebuah rumah di Taman Sentosa di Klang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian pukul 6.45 petang itu, mangsa berusia 28 tahun berada seorang diri di rumah sewanya.

“Ketika duduk bersendirian di dalam rumah, mangsa didatangi teman lelakinya yang bertindak memotong kunci pintu pagar rumah.

“Suspek berusia 37 tahun juga telah memotong kunci pintu grill rumah mangsa itu sebelum terus masuk ke dalam rumah dan tiba-tiba memukul teman wanitanya itu di bahagian badan dengan tangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Shamsul Amar, suspek kemudian bertindak melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios yang dipandu rakannya.

Menurut beliau, akibat kejadian itu, mangsa mengalami sakit di bahagian dada disebabkan terkena kuku jari tangan suspek.

“Bertindak atas laporan polis oleh mangsa kejadian, polis dari Bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan telah menangkap suspek kejadian itu sekitar pukul 9.30 malam pada hari kejadian dan telah merampas satu pemotong warna oren yang disyaki digunakan untuk memotong pintu pagar dan grill rumah mangsa.

“Turut ditahan adalah rakannya berusia 17 tahun kerana disyaki bersubahat dalam insiden itu.

“Hasil siasatan lanjut polis ke atas suspek mendapati, hal ini berpunca kerana suspek mahu melakukan seks dengan pengadu (mangsa) tetapi pengadu tidak mahu mengikut kehendaknya,” ujarnya.

Tegas beliau semasa proses soal siasat oleh polis, kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam insiden itu.

Semakan lanjut suspek utama mempunyai dua rekod lampau kesalahan jenayah di bawah Seksyen 427 , 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 47 Jenayah Terancang serta sembilan kes bersangkut dadah iaitu empat kes bawah Seksyen 12(2), Seksyen 15(1)(3 kes) dan Seksyen 39(A)(1) Akta Dadah Berbaha 1952 manakala rakannya tidak mempunyai sebarang jenayah lampau.

“Kedua-dua suspek direman dua hari di Mahkamah Majistret Klang bermula hari ini hingga 5 September ini untuk membantu melengkapkan siasatan kes tersebut,” tegas beliau.

Berita Penuh : https://malaysiagazette.com/2021/09/04/wanita-diserang-teman-lelaki-kerana-tolak-pelawaan-seks/

BACA: Ahli arkeologi dakwa jumpa harta milik Nabi Sulaiman