Gara-gara penyewa melombong bitcoin, pemilik premis didenda RM695,000

Gara-gara penyewa melombong bitcoin, pemilik premis didenda RM695,000.Pemilik premis berusia 70 tahun dikenakan denda RM695,000 oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) susulan penyewanya disyaki melakukan sambungan haram melepasi meter elektrik bagi aktiviti melombong bitcoin.

Wu Tuan Chiang berkata, beliau menyewakan premisnya di Bandar Puteri Puchong kepada “syarikat penyedia sistem IT” dengan kadar RM1,600 sebulan, pada Mei 2019.

Selepas menerima notis daripada TNB, beliau mendapati premisnya sudah dikosongkan sejak Dis 2020 dan dengan penyewa terbabit tidak dapat dikesan lagi.

Wu adalah antara 10 pemilik premis yang membawa kes mereka kepada Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Michael Chong.

Dalam sidang media hari ini, Chong berkata, seramai 10 pemilik premis mempunyai jumlah denda elektrik yang mencapai nilai keseluruhan RM1,758,000, akibat penyalahgunaan hartanah mereka.

Beliau merayu kepada TNB agar menilai aduan itu, lebih-lebih lagi kes melibatkan pemilik hartanah “kecil-kecilan”.

Michael Chong (duduk, dua dari kiri) bersama Wu Tuan Ching dan beberapa lagi pemilik premis dan pembantunya daripada Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, termasuk Institut Ejen Hartanah Malaysia.

Gara-gara penyewa melombong bitcoin, pemilik premis didenda RM695,000
Chong berkata, beliau berharap dapat mengadakan pertemuan dengan pegawai TNB berhubung isu berkenaan, sambil menambah akan memberi cadangan agar syarikat utiliti itu menubuhkan tribunal pengguna.

“Kami menggalakkan pemilik mengikuti peraturan dan undang-undang bagi melindungi diri mereka. (Pemilik) perlu berurusan dengan ejen hartanah sah yang mempunyai tanggungjawab untuk memberi nasihat,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia Chan Ai Cheng, menasihatkan orang awam agar berurusan dengan ejen hartanah berdaftar di bawah Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (LPPEH).

Katanya, semua ejen hartanah berdaftar wajib melakukan pemeriksaan terhadap penyewa hartanah, justeru melindungi pemilik daripada risiko penyalahgunaan komersial dan hartanah peribadi.

BACA:

Penangguhan Umrah : Esok baru akan dibentang dalam kabinet – PM
Berlaku ‘ribut taufan’ dalam Umno gara-gara pengeluaran KWSP
Wartawan wanita ini terkejut dirinya jadi bahan lelongan dalam aplikasi online

Artikel ini disiarkan pada 04/01/2022

COMMENTS

Wordpress (0)