Gara-gara ‘John’ negara rugi RM1 billion

Oleh INFORAKYAT

Gara-gara ‘John’ negara rugi RM1 billion. Rokok tiruan cap dagang jenama John kini menguasai 30 peratus pasaran rokok seludup di negara ini.

Ia membabitkan nilai keuntungan diperolehi kartel dianggarkan RM560 juta setahun dengan kerugian kutipan cukai sekitar RM1 bilion.

Untuk tempoh sepanjang 2022, sebanyak 2.5 bilion batang atau membabitkan 125 juta pek rokok jenama John

Gara-gara 'John' negara rugi RM1 billion

sudah pun memasuki pasaran bagi memenuhi permintaan pengguna tegar rokok murah.

Ia menjadikan John berada di tempat teratas jenama rokok tidak sah di pasaran tempatan, diikuti jenama Era dan Canyon.

Untuk rekod, pada 2022 secara keseluruhan sebanyak 56.6 peratus rokok dijual di Malaysia adalah rokok seludup dengan anggaran kerugian RM4 bilion setahun, iaitu jumlah sepatutnya dijana kerajaan bagi kutipan cukai rokok.

Angka sebanyak 56.6 peratus itu menunjukkan insiden rokok seludup pada 2022 adalah menurun, iaitu pengurangan 0.7 mata peratusan daripada 2021.

Penurunan insiden rokok seludup adalah usaha gigih agensi kerajaan seperti Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang giat memperhebatkan operasi.

Ini termasuk Op Kontraban, operasi berkaitan Seksyen 5, Akta Perihal Dagangan mengenai kesalahan dagangan palsu dan di bawah kesalahan seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu mengenai menyimpan dan memiliki rokok-rokok tidak sah.

Walaupun operasi berterusan saban tahun giat diperhebatkan namun ia belum cukup untuk menurunkan dengan drastik insiden rokok tidak sah di pasaran.

Apatah lagi dengan kewujudan jenama seperti John yang dikenal pasti kononnya mempunyai produk sah lulus kastam berdasarkan setem cukai rokok, namun sebenarnya agak meragukan.

Skuad Khas Harian Metro mendapati ada rokok jenama John yang dijual pada harga sekitar RM8 bagi sepeket 20 batang yang ditampal pelekat setem palsu.

Namun ada juga jenama sama dijual mengikut harga runcit minimum rokok iaitu RM12 bagi sepeket 20 batang iaitu mematuhi Peraturan 8C (1) Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain turut mempunyai pelekat setem cukai kastam dipercayai sah.

Berdasarkan carian, sumber berkata, ada kemungkinan pelekat setem dikatakan sah itu sebenarnya tiruan ekoran ia sudah banyak berlaku.

Lebih meragukan, sumber berkata, untuk syarikat pengimport bagi jenama John berkenaan, lesen pengimportannya yang diberi lesen adalah untuk transhipment bagi tujuan dieksport kembali ke Thailand.

“Tetapi, apa yang berlaku ialah rokok itu tidak dieksport semula ke negara berkenaan. Tak ke sana pun.

“Sebaliknya banyak u-turn, masuk semula untuk edaran pasaran tempatan di Malaysia,” katanya.

Apa pun, kebanjiran rokok jenama berkenaan yang dipercayai dikilangkan di luar negara adalah kontra produktif kepada agenda kesihatan nasional yang menyasarkan untuk rakyat berhenti merokok.

Rokok tiruan yang diseludup masuk ke dalam negara mampu menimbulkan kesan yang sangat berbahaya kepada kesihatan.

Kajian pernah dijalankan oleh Universiti Malaya (UM) mengesahkan tiga perkara iaitu kandungan bahan kimia dalam rokok tidak sah melebihi had yang ditetapkan menurut undang-undang Malaysia, berbanding rokok yang sah.

Kandungan tar dan nikotin di dalam rokok itu juga sebenarnya lebih tinggi selain dicemari bahan kimia atau produk bukan tembakau lain.

Kartel yang menguasai rantaian pengedaran barang terlarang itu sudah pasti mengaut laba tinggi di sebalik risiko kesihatan memburuk kepada rakyat Malaysia khususnya pengguna rokok berkenaan dan orang di sekeliling.

BACA: 

Familymart henti jual minuman alkohol di 360 cawangan sejak Kerajaan Perpaduan memerintah?

Kutipan Baby Naail capat target RM9 juta, Founder Misi Rakyat nangis menahan sebak netizen juga turut merasainya