Gangster tukar kerja waktu PKP, jadi pengedar dadah pula – Polis

Polis percaya banyak kumpulan gengster di Johor kini beralih kepada penghasilan dan penjualan dadah berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ia susulan pembongkaran sebuah lagi makmal memproses dadah di Desa Cemerlang, Seri Alam pada Ahad lalu membabitkan rampasan bernilai RM6.4 juta.

Katanya, enam lelaki berusia 34 hingga 48 tahun ditahan, termasuk seorang daripadanya anggota kumpulan Geng 21.

“Pada mulanya, polis menerima makluman daripada pihak bomba mengenai satu insiden kebakaran kilang dan serbuan berjaya membongkarkan satu lagi makmal haram memproses dadah disyaki ketamin.

“Sebanyak 30kg ketamin bernilai RM1.65 juta, 100 liter cecair disyaki dadah bernilai RM3.3 juta dan 2kg serbuk disyaki dadah bernilai RM110,000 yang boleh digunakan 660,000 penagih dirampas,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata, turut dirampas campuran kimia prekursor, mesin dan peralatan memproses dadah, serta enam kereta, lima akaun bank dan 15 jenis barang kemas yang keseluruhannya bernilai RM1.34 juta.

“Polis masih mengesan lima lagi suspek terdiri daripada empat lelaki tempatan, termasuk ketua sindiket ini dan seorang wanita tempatan berusia antara 33 hingga 46 tahun yang masih bebas.

“Semua suspek kini disambung reman selama dua hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,” katanya. – FMT

 

 

COMMENTS

Wordpress (0)