Gagal bayar saman Nizar, Razman akan berdepan tindakan muflis

Gagal bayar saman Nizar, Razman akan berdepan tindakan muflis

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria akan berhadapan dengan tindakan undang-undang  kebankrapan (muflis) sekiranya  gagal membayar ganti rugi sebanyak RM200 ribu kepada Timbalan Pengerusi AMANAH Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Memetik laporan Perak Insight hari ini Hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya, Datuk Dr Badariah Sahamid telah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh sebelum ini yang memerintahkan Razman membayar RM200,000 kepada Nizar.

Peguam Nizar, Mohd Fitri Asmuni berkata, tiada lagi bayaran ganti rugi sebanyak RM200 ribu yang sepatutnya dibayar kepada anakguamnya.

“Jumlah keseluruhan yang perlu dibayar oleh YB Razman kepada Datuk Seri Nizar ialah sebanyak RM254,150 ribu. Itu sudah termasuk kos dan faedah lewat bayar sekali.

“Saya telah pun menghantar surat kepada peguam beliau sebelum ini dan meminta beliau membayar jumlah penghakiman tersebut selewat-lewatnya pada 29 Januari yang lalu.

“Namun mengikut rekod saya setakat hari ini, Razman belum bayar apa-apa pun lagi,” katanya.

Razman Zakaria

Ditanya samada beliau ada menerima apa-apa arahan lanjut daripada Mohammad Nizar berhubung perkara tersebut, Mohd Fitri menjelaskan perbincangan telah dilakukan dengan anakguamnya itu ekoran kegagalan Razman membayar jumlah penghakiman tersebut dalam waktu yang telah ditetapkan.

“Ya, semalam saya telah pun menghubungi Datuk Seri Nizar dan memaklumkan kepada beliau mengenai perkara tersebut.

“Kami juga telah berbincang tindakan selanjutnya yang perlu diambil terhadap beliau. Insyallah kita akan teruskan dengan tindakan kebankrapan terhadap beliau dalam masa terdekat,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohammad Nizar berkata, Razman telah memohon supaya bayaran ganti rugi kepada beliau itu dibayar secara ansuran, namun cadangan tersebut telah ditolak oleh beliau.

“Peguam saya telah memaklumkan cadangan Razman tersebut tetapi saya tolak. Saya minta beliau bayar semua sekali serentak ikut waktu yang telah ditetapkan.

“Saya harap kes ini menjadi pengajaran kepada beliau supaya jangan mudah-mudah memfitnah orang lain lagi selepas ini,” kata Mohamad Nizar seperti dipetik.

Adun Gunung Semanggol itu didapati bersalah memfitnah bekas Menteri Besar Perak itu dalam satu rencana yang disiarkan akhbar Sinar Harian edisi Perak bertarikh 2 Jun 2015 bertajuk “Pendekatan Nizar Mirip DAP”.

Berita Asal https://malaysiadateline.com/gagal-bayar-saman-nizar-razman-akan-berdepan-tindakan-muflis/#at_pco=smlrebh-1.0&at_si=5e3d042a8e360047&at_ab=per-2&at_pos=3&at_tot=7