Formula hapus hutang peneroka Felda masih kurang jelas

Formula hapus hutang peneroka Felda masih kurang jelas. Felda diminta mengemukakan formula pengiraan penghapusan hutang peneroka RM8.3 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

Ini kerana di lapangan terdapat dua kelompok peneroka iaitu yang setia dengan Felda dan mempunyai penyata pendapatan.

Satu lagi kelompok membabitkan golongan peneroka yang mengambil alih sepenuhnya pengurusan ladang dan tiada penyata pendapatan.

Ketua Peneroka Felda Jengka 10, Jantan Mat Saman berkata, peneroka yang setia dengan Felda mempunyai penyata pendapatan yang menyenaraikan jumlah potongan hutang kepada agensi berkenaan.

Formula

“Ini bermakna jumlah hutang individu peneroka kelompok ini yang dipotong seperti bayaran kembali (BK), penyelenggaraan jalan pertanian, keceriaan kampung dan lain-lain sentiasa berubah setiap bulan.

“Bagi peneroka yang mengambil alih pengurusan ladang daripada Felda atau buat sendiri, hutang mereka tetap kekal dan tidak berubah kerana Felda tidak dapat membuat potongan hutang.

“Sekiranya pemotongan hutang sama rata dibuat Felda menjadi tidak adil kepada peneroka yang setia kepada Felda,” katanya di sini, semalam.

Sebelum ini, kerajaan secara dasar bersetuju dengan cadangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

Menurut Jantan, terdapat juga peneroka yang menjual buah tandan segar sawit menggunakan nama individu lain menyebabkan potongan hutang peneroka terbabit tidak dapat dibuat pengurusan Felda.

Oleh itu ujarnya, pegawai Felda Ibu Pejabat dan Wilayah perlu turun padang menyediakan formula pemotongan hutang secara adil kepada peneroka.

Berita penuh : https://www.utusan.com.my/nasional/2021/07/formula-hapus-hutang-peneroka-felda/

Jika Terlepas: Panas !!! Pelupusan hutang peneroka FELDA, rupanya ada ‘syarat’