Fokus dulu kepada yang berjuta dah daftar nak vaksin ni, tegur Anwar

Kerajaan tidak perlu melayan sesetengah pihak atau individu yang dilihat aktivaksin sebaliknya hendaklah mempercepatkan vaksinasi kepada lebih 12 juta individu yang sudah mendaftar dengan MySejahtera.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata jumlah mereka yang dikatakan menolak pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (​PICK) tidak ramai tetapi keutamaan dan perhatian kerajaan hendaklah diberikan kepada lebih 12 juta yang sudah mendaftar dengan program itu.

“Jumlah mereka ini (yang tolak vaksin) berapa kerat saja pun. Tapi yang ramai ini, ..juta yang sudah mendaftar perlu diberi (vaksin). Ada sembilan,10 juta yang sudah daftar ini, bagi dulu,” katanya ketika menyampaikan amanat khas Presiden PKR kepada ahli parti itu hari ini.

Anwar mengulangi kritikannya bahawa PICK yang berlangsung ketika ini mengalami kelewatan dan memaksa ramai pihak terus menunggu sehingga mencetuskan kemarahan sebilangan besar rakyat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam kenyataan menerusi Twitter memaklumkan pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera kini seramai 12,683,764 individu atau 52.3 peratus daripada 24.3 juta individu yang disasarkan menerima vaksin COVID-19. Hingga kini, seramai 3,493,193 individu sudah divaksin sejak PICK bermula Februari lalu.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, jika kaedah pemberian vaksin seperti sekarang ini terus perlahan, usaha untuk mencapai imuniti kelompok menjelang hujung tahun ini mungkin sukar.

Beliau berkata, pembangkang tidak pernah membantah tindakan kerajaan melaksana penutupan penuh atau ‘lockdown’ kepada aktiviti ekonomi dan sosial, namun ia perlulah disusuli dengan bantuan yang setimpal kepada rakyat.

Dalam pada itu, ketua pembangkang itu menjelaskan PKR akan terus memperkukuhkan kerjasama politik antara rakan gabungan dalam Pakatan Harapan (PH) serta parti-parti lain termasuk yang kini menjadi sebahagian parti kerajaan.

“PH sedia bekerjasama dengan parti pembangkang tapi bukan untuk bolot kuasa, beri kontrak tanpa tender, kita mahu kesepakatan kelompok pembangkang sebab sekarang ini ada kekangan (masalah) dalam PN (Perikatan Nasional).

“Kita harus ada sikap berlapang dada. Kita harus ada kesediaan untuk bekerjasama termasuk musuh lalu dan musuh sebelum ini. Cuma syaratnya harus tegas iaitu tidak boleh bertolak ansur. Perjanjian dalam ruang lingkup yang tidak boleh dimungkiri kerana pimpinan itu silih berganti,” katanya.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/824875/jangan-peduli-yang-antivaksin-mereka-tak-ramai

COMMENTS

Wordpress (0)