Dewan Perdagangan ASEAN mahu syarikat Malaysia dan ASEAN menembusi pasaran Turki, khususnya dalam industri pertahanan, memandangkan ia peluang baik untuk meningkatkan kerjasama perdagangan antara blok ekonomi Asia Tenggara dan Turki.
Presiden, Datuk Moehamad Izat Emir berkata Turki kini memerlukan pelabur asing untuk melabur di negara itu susulan pertikaian berpanjangan antara negara itu dan Amerika Syarikat berhubung pembelian senjata Rusia.
Beliau berkata berikutan itu, rakyat Malaysia dan ekonomi ASEAN menerima kesan tidak langsung daripada kemelut berlarutan terbabit.
“Saya menggesa semua ahli, pedagang Malaysia dan ASEAN, khususnya mereka dalam industri pertahanan supaya melabur di Turki. Malaysia mempunyai kumpulan usahawan cemerlang dalam sektor ini yang akan membantu kita meningkatkan kerjasama perdagangan antara ASEAN dan Turki,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Turki merupakan negara maju yang mempunyai sistem sokongan kendiri dalam industri halal.
“Malaysia sewajarnya mempelajari industri halal terbaik dan maju yang juga merangkumi makanan dan minuman, fesyen Islam dan lain-lain,” katanya.
BERNAMA