Fenomena kepala air bakal berulang

Fenomena kepala air bakal berulang.Kejadian kepala air yang berlaku di Yan, Kedah pada 18 Ogos lalu berpotensi untuk berulang sekiranya langkah awal untuk mengelakkan air banjir daripada memasuki kediaman tidak dilakukan.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Dr Zaini Ujang berkata, selain pembinaan empangan, penduduk juga boleh mengambil tanggungjawab untuk melakukan pembersihan secara berkala terhadap longkang kecil dan besar di kawasan sekitar rumah masing-masing bagi memastikan laluan air tidak tersekat.

“Peranan masyarakat setempat juga penting dalam mengelakkan kejadian sama berlaku… sekiranya terdapat kotoran seperti kesan selut di dalam longkang, minta bersihkan supaya laluan air tidak tersekat,” katanya pada sesi webinar Pelestarian Alam Sekitar anjuran kementerian itu hari ini.

Beliau berkata, empangan semula jadi seperti pokok besar dan batu yang selama ini menyekat aliran air hujan telah musnah menyebabkan kejadian banjir kali kedua berlaku kelmarin.

“Sewaktu kejadian 18 Ogos lepas taburan hujan lebat di Gunung Jerai adalah 176 milimeter (mm) dalam masa enam jam, bagaimanapun kejadian banjir kali kedua tersebut sebenarnya hanya hujan lebat biasa iaitu 55 mm dalam tempoh lima jam tetapi mampu untuk menjadi banjir kerana empangan takungan air semula jadi telah musnah,” katanya.

kepala

Zaini berkata, Empangan Sabo yang bakal dibina di kawasan itu adalah empangan yang banyak digunakan di Jepun yang bertujuan untuk memastikan pokok-pokok yang tumbang serta batu-batu besar tidak menghilir sekiranya aliran air deras berlaku dan ia dijangka siap Disember ini.

Dalam lawatan sulung Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Kedah 23 Ogos lalu, beliau mengumumkan peruntukan RM75 juta bagi membantu kerajaan negeri Kedah memperbaiki segala kemudahan awam dan infrastruktur di Yan dan Merbok yang rosak akibat tragedi kepala air dari Gunung Jerai.

Peruntukan itu termasuk RM50 juta menerusi KASA yang antara lain untuk menaik taraf sungai dan sistem saliran sepanjang 27 kilometer bagi fasa satu daerah berkenaan melibatkan kos sebanyak RM5 juta.

Peruntukan itu juga melibatkan pembinaan dua jambatan baharu sebanyak RM23 juta, pembinaan intake loji rawatan air di Gurun dan Tupah (RM2 juta), termasuk pembinaan Empangan Sabo fasa satu (RM20 juta) serta kerja pembaikan kemudahan pelancongan desa dan kerja baik pulih bekalan air.

Berita Penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/09/750896/fenomena-kepala-air-berpotensi-berulang

BACA: Tiada jangkitan teruk kepada kanak-kanak akibat varian delta