Fasa 2 PPN : Ramai peniaga tarik nafas lega

Fasa 2 PPN : Ramai peniaga tarik nafas lega

Fasa 2 PPN : Ramai peniaga tarik nafas lega. Rata-rata golongan peniaga di Terengganu mula menarik nafas lega selepas mereka sudah boleh membuka perniagaan seperti bia­sa apabila negeri itu mema­suki Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) semalam.

Antara premis yang menjadi tumpuan orang ramai adalah kedai gunting rambut, pusat cuci kenderaan, kedai elektrik dan kedai buku.

Kosmo! dalam tinjauan mendapati, seorang pelanggan sanggup datang sejam lebih awal dari waktu operasi pada hari pertama pembukaan semula perniagaan kedai gunting rambut semalam.

Pelanggan setia, Mohd. Ihsan Sabri Muda, 35, berkata, dia me­nunggu sejak pukul 9 pagi untuk mendapatkan khidmat gunting rambut di Matt Barbershops di Bukit Tunggal, Kuala Nerus.

Keputusannya itu nyata berbaloi setelah menjadi yang ter­awal selain diberikan caj percuma oleh premis berkenaan kepada 10 pelanggan pertama.

“Kebiasaannya memang saya ke sini sebulan sekali tetapi sejak Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), saya tidak dapat menggunting rambut.

“Walaupun dibuka pukul 10 pagi, saya datang awal sebab tahu kalau lewat, ramai yang menunggu giliran,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Tukang gunting rambut, Safwan Sedik, 22, berkata, semalam merupakan hari yang menggembirakan setelah premis itu boleh beroperasi seperti biasa dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Dalam pada itu, Abdul Hadi Omar, 69, berkata, dia sebelum ini kehilangan sumber pendapatan setelah kedai perkakasan elektriknya di Kuala Besut, dekat sini terpaksa ditutup hampir dua bulan ekoran pelaksanaan Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Saya dan isteri, Rubiah Ismail, 65, bergantung kepada wang simpanan dan pencen dalam dua bulan ini.

“Memang perit kerana sewa kedai masih belum dibayar. Lega dapat beroperasi semula hari ini (semalam),” katanya.

Abdul Hadi berkata, kedai perkakasan elektrik tersebut merupakan satu-satunya mata pencariannya dan isteri setelah bersara pada 2014.

Katanya, sebelum ini purata pendapatan kasar hariannya antara RM500 hingga RM1,000.

“Harap situasi Covid-19 akan bertambah baik bagi memboleh­kan rakyat termasuk kami golo­ngan peniaga dapat memulihkan kembali ekonomi,” katanya.

PEKERJA sebuah pusat cuci kereta sedang mengelap sebuah kenderaan di Kampung Bukit Tokbat, Hulu Terengganu semalam.
Sementara itu, di Hulu Terengganu, seorang pengusaha pusat cuci kereta, Muhamad Fakrudzi Ghazali, 33, berkata, perkemba­ngan itu sekali gus membolehkan dua pekerjanya kembali dapat mencari rezeki apabila premis tidak beroperasi sejak Aidilfitri lalu.

Menurutnya yang kehilangan pergelangan tangan kiri akibat tersepit mesin tebu, dia hanya bergantung kepada hasil simpanan serta bantuan Geran Khas Prihatin (GPK) yang diperoleh selama hampir dua bulan tidak dapat beroperasi.

“Selain usaha pusat cuci ini saya juga sediakan perkhidmatan katering aiskrim tetapi kedua-duanya tidak dibenarkan ketika PKP menyebabkan saya hilang sumber pendapatan.

“Saya bertahan dengan duit simpanan serta bantuan GPK daripada kerajaan. Dapat kembali beroperasi tentunya saya bersyukur, pekerja pula boleh bekerja semula,” katanya

Berita penuh :https://www.kosmo.com.my/2021/07/06/orang-ramai-serbu-kedai-gunting-rambut/

jika Anda Terlepas: Panas !!! Keluar kerajaan PN, ini jawapan Khairy