Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), menubuhkan satu unit halal di FAMA bagi memudahkan usahawan memperolehi sijil halal dalam memperluaskan pemasaran pertanian mereka.
Pengerusi FAMA Ishak Ismail berkata kaedah ini dapat membantu menyelesaikan masalah dan kekangan yang dihadapi usahawan, terutamanya usahawan muda dalam mendapatkan sijil halal kerana mungkin mereka tidak tahu cara memohon sijil itu.
“Perbincangan telah dibuat dengan menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Agama Islam iaitu Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, serta bahagian halal JAKIM. Mereka bersetuju untuk melantik pegawai FAMA untuk menubuhkan unit ini,” katanya selepas Majlis Ramah Mesra Aidilfitri bersama FAMA di sini, hari ini.
Ishak juga berkata mesyuarat akan diadakan dalam tempoh masa tiga bulan bagi perbincangan dan penyediaan para pegawai FAMA, supaya unit halal itu dapat dilancarkan dalam tempoh itu.
Ishak berharap seramai 80 peratus atau 50,000 usahawan FAMA menerima manfaat melalui kaedah ini selain menyampaikan kepada pengguna produk segar, berkualiti dan suci.
Baru-baru ini, FAMA telah memperkenalkan ‘Go Pasar Tani’ dan ‘Agrobazaar Online’ sebagai inisiatif berasaskan digital bagi membantu usahawan dan pengguna dalam bekalan makanan.
Kaedah ini ditingkatkan lagi dengan teknologi ‘block chain’ bagi menjejak dan mengesan produk jika didapati terdapat masalah.
Tambahan lagi, Ishak berkata satu aplikasi ‘Tani Ekspress’ akan diperkenalkan melalui Agrobazaar online sebagai peluang usahawan warga muda berkerjasama dengan FAMA dalam meningkatkan pemasaran produk mereka.
— BERNAMA