Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menerusi program My Best Buy (MBB) 2.0 merekodkan jualan RM11 juta pada separuh pertama tahun 2019.
Pemangku Ketua Pengarah FAMA Zainal Abidin Yang Razali berkata rekod itu sekali gus meletakkan hasil jualan dari Januari sehingga Jun tahun ini itu antara yang tertinggi dalam tempoh sama sejak lima tahun lepas.
“Pada mulanya kita menyasarkan hasil jualan RM16 juta tahun ini, tetapi sehingga bulan Jun lepas kita telah mencapai hasil jualan RM11 juta,” katanya katanya ketika berucap pada majlis perasmian program MBB yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin, di sini hari ini.
“Melalui MBB ini FAMA membantu rakyat Malaysia menjimatkan RM1.5 juta untuk kos pembelian barang keperluan harian. Fokus kita adalah membantu kerajaan mengurangkan kos sara hidup terutamanya di kawasan bandar,” tambahnya.
Beliau berkata pihaknya sedang berusaha untuk menambah baik kekurangan program MBB agar setiap rakyat boleh mendapat manfaat daripada program berkenaan.
Jelasnya, masyarakat boleh membuat permohonan terus kepada FAMA sekiranya mahu program MBB diadakan di kawasan sekitar yang diinginkan.
Sementara itu, Sim berkata FAMA dijangka akan menerima kunjungan sejuta pengunjung pada program MBB tahun ini dengan tambahan 160 buah lokasi baharu.
Menurutnya, sejak tahun 2014 hingga Julai 2019, MBB telah mencatatkan nilai jualan RM58.8 juta yang dijalankan di 188 lokasi tetap dan bermusim di seluruh negara membabitkan 2,746 orang usahawan.
“Bagi Pulau Pinang, nilai jualan terkumpul sejak 2016 sehingga Julai 2019 adalah RM1.9 juta membabitkan 974 usahawan di 128 lokasi. Di Pulau Pinang tidak ada ramai petani seperti di negeri-negeri lain tetapi kita ada usahawan yang bagus.
“Usahawan-usahawan di Pulau Pinang ini kreatif, boleh mencipta produk yang bagus dan itu adalah kekuatan bagi Pulau Pinang. FAMA boleh bawa mereka ke tahap lebih tinggi. Jelas, program seperti ini bukan sahaja tempat untuk rakyat membeli barang-barang keperluan, tetapi juga mampu membantu menjana pendapatan,” kata Sim.
BERNAMA