Fama akan pasarkan 50 peratus duku Terengganu

image (3).jpeg

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membantu pengusaha duku Terengganu memasarkan hasil tanaman mereka di seluruh negara, dengan membeli 50 peratus buah berkenaan, tahun ini.

Pengarah Kanan Khidmat Pemasaran (Segar) FAMA, Mohd Anis Mohd Yasin berkata pengeluaran duku Terengganu dijangka mencecah hampir 5,000 tan metrik, hasil tuaian daripada 404 hektar kebun yang diusahakan lebih 1,000 pengusaha di seluruh negeri itu, dalam tempoh tersebut.

Beliau berkata pihaknya akan mempergiatkan promosi duku Terengganu bagi mengatasi risiko lambakan buah tersebut di pasaran.

“Setakat ini, duku ini hanya boleh dieksport ke pasaran Singapura dan Indonesia memandangkan jangka hayat selepas duku dituai tidak lama dan mudah rosak…hanya bertahan sekitar tiga hari.

“Kita masih belum menemui teknologi boleh memanjangkan jangka hayat duku mencapai dua hingga tiga minggu, untuk pasaran eksport yang lebih jauh. Kita masih berusaha untuk mencipta teknologi itu dengan kerjasama agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian jual beli ladang kontrak melibatkan sembilan peserta di Kampung Durian Bador di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah FAMA Terengganu, Fauzi Mohamed.

Mohd Anis berkata duku Terengganu adalah antara terbaik di negara ini kerana mempunyai keunikan tersendiri dengan kemanisan, kekenyalan, berbiji kecil dan rasa sejuk apabila dimakan.

Seorang peserta ladang kontrak duku, Alias Ismail, 61, berkata beliau sudah bekerjasama dengan FAMA sejak 10 tahun lalu dan sangat berpuas hati dengan harga ditawarkan setakat ini.

“Alhamdulillah, walaupun pernah berlaku lambakan duku satu ketika dahulu, harga ditawarkan FAMA masih berpatutan…paling murah pernah ditawarkan ialah RM1.50 untuk sekilogram, namun ia jauh lebih tinggi berbanding pemborong lain, hanya RM0.70 atau RM0.80 untuk sekilogram.

“Kebiasaannya, FAMA ambil harga di ladang RM2.20 sekilogram manakala harga pasaran RM4. Bagi pekebun yang berusia dan tidak berkemampuan memasarkannya sendiri, mereka lebih suka menjual duku kepada FAMA kerana harganya lebih stabil dan terjamin,” katanya.

BERNAMA