Faizal anggap pelantikan TPM boleh rencat kabinet yang ‘perform’

Faizal anggap pelantikan TPM boleh rencat kabinet yang ‘perform’

Jangan rencatkan momentum Kabinet sedia ada dengan permasalahan politik.

Itu pendirian tegas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkait isu pelantikan individu bagi menduduki jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Menurut beliau, sebarang perubahan yang berlaku hanya \akan menjejaskan momentum anggota Kabinet sedia ada.

“Saya nampak, kerajaan hari ini semakin diterima oleh orang ramai, anggota Kabinet telah berfungsi dengan amat baik dan momentum ini harus diteruskan.

“Jika kita membuat perubahan, ia akan merencatkan momentum. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah cakap terus terang, kalau tanpa pandemik COVID-19, dia akan laksanakan Pilihan Raya Umum (PRU).

“Namun, kita ada kekangan dengan pandemik yang terpaksa kita tangguhkan (PRU). Jika pilihan raya umum semakin hampir, saya berpandangan, janganlah kita merencatkan momentum sokongan kepada kerajaan yang begitu baik sekarang ini,” katanya kepada Astro AWANI pada Isnin

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, Muhyiddin sewajarnya diberi kebebasan sepenuhnya dalam menetukan individu yang akan menduduki kerusi timbalannya itu.

Malah, beliau percaya Perdana Menteri juga telah mengadakan rundingan dengan pemimpin-pemimpin parti di dalam Perikatan Nasional (PN) berkait isu tersebut.

“Ini bukan perkara baharu yang kita dengar. Saya kira semua pihak termasuk daripada parti-parti lain juga, jika boleh mahu menduduki kerusi yang lebih banyak ataupun yang lebih baik.

“Namun, dalam perkara ini, saya kira Perdana Menteri telah memperhalusi setiap perkara dalam membuat sesuatu keputusan.

“Jadi saya berpandangan, semua pihak yang ada cita-cita atau kehendak seperti ini (menduduki jawatan Timbalan Perdana Menteri) untuk memberi kebebasan kepada Muhyiddin untuk membuat satu keputusan demi kepentingan semua.” ujarnya.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu temu bual eksklusif bersama Mingguan Malaysia dilaporkan berkata isu jawatan Timbalan Perdana Menteri untuk diisi pemimpin UMNO akan dibangkitkan semula sebaik Belanjawan 2021 yang sedang dibahaskan di Dewan Rakyat selesai.

Ismail Sabri berkata, pada masa ini tiada pemimpin UMNO diberikan jawatan tertinggi dalam Kabinet, melainkan satu daripada empat jawatan menteri kanan yang disandang beliau, meskipun UMNO memiliki jumlah kerusi terbesar dalam kerajaan Perikatan Nasional.

Namun, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta pemimpin dan anggota UMNO tidak mendesak Muhyiddin mewujudkan semula jawatan Timbalan Perdana Menteri dengan memberikan kuota berkenaan kepada parti itu.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, kuasa pelantikan Timbalan Perdana Menteri, menteri dan timbalan menteri terletak sepenuhnya kepada budi bicara Perdana Menteri.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-politik/jawatan-tpm-jangan-rencatkan-momentum-kabinet-faizal-azumu-270857