Saya membaca posting individu yang tidak berpuas hati tindakan lambat pendakwaan pihak berkuasa ke atas lelaki Cina yang didakwa memuat naik karikatur penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW baru ini.
Sebagai pengamal undang-undang yang terlibat kendalikan pelbagai kes jenayah ingin saya coretkan secara ringkas tatacara dan SOP pendakwaan sesuatu kes jenayah atau quasi jenayah.
Apabila suatu laporan awal (first information report) diterima pegawai/penolong pegawai penyiasat akan membuka satu kertas siasatan (investigation paper).
Pegawai penyiasat akan menahan individu yang dinyatakan dalam laporan untuk diambil keterangan di bawah Sek 112 Kanun Acara Jenayah.
Selepas keterangan di ambil, pegawai tersebut akan bebaskan sementara individu yang terlibat dengan jaminan polis sementara kertas siasatan dihantar ke pejabat Jabatan Peguam Negara untuk diperhalusi Timbalan Pendakwaraya (TPR).
TPR kemudiannya akan memberikan arahan selepas diperhalusi IP dengan memberi arahan kepada IO atau AIO untuk mendapatkan maklumat dan bukti tambahan jika perlu sebelum arahan pendakwaan diberikan kepada IO atau AIO terbabit ke atas suspek yang dibebaskan sementara menunggu pendakwaan.
Ini adalah prektis amalan biasa dalam pendakwaan, selepas arahan pendakwaan diterima dari TPR bersama kebenaran dan sanksi, baharulah IO akan menyerahkan IP tersebut kepada pegawai pendakwa untuk pendaftaran kes mahkamah dan pendakwaan.
Kes pendakwaan ini kemudiannya akan diteruskan timbalan pendakwaraya yang berkaitan dengan mahkamah di mana suspek akan didakwa.
Proses pendakwaan ini bermula dengan sebutan kes OKT, kemudian serahan dokumen kepada OKT, dan baharulah perbicaraan kes akan ditetapkan dan dijalankan.
Semoga penjelasan ringkas ini dapat difahami sebelum sebarang telahan pra-matang diberikan terhadap sesuatu kes pendakwaan melibatkan kes jenayah dan quasi jenayah seperti kes melibatkan individu yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW.