Kerajaan negeri akan mengenal pasti mekanisma yang sesuai untuk dilaksanakan sekiranya perkhidmatan bas percuma yang dilaksanakan di Bandar Seremban baru-baru ini dipenuhi warga asing.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata bagaimanapun isu (dipenuhi warga asing) itu tidak akan timbul sekiranya masyarakat tempatan memanfaatkan perkhidmatan itu sepenuhnya.
“Apa yang saya tahu warga asing ini hanya keluar masa hari minggu waktu mereka cuti, tetapi apa yang penting adalah hari Isnin hingga Sabtu di mana kebanyakan warga tempatan kita pergi ke pasar, pejabat, hospital dan sebagainya dapat menggunakan perkhidmatan ini.
“Jadi untuk peringkat awal ini kita akan lihat dulu bagaimana respon terhadap perkhidmatan bas percuma ini, saya tidak mahu membuat keputusan awal tanpa ada kajian. Sesiapa boleh naik dahulu, ini baru tempoh percubaan dan sekiranya kita lihat kebanyakan masyarakat yang menaiki bas tersebut adalah warga asing, kita akan kaji perkara tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam ke-67 Tahun 2019 di Pusat Pertahanan Awam Negeri Sembilan hari ini.
Aminuddin berkata, pihak kerajaan belum menetapkan peraturan bagi sesiapa yang mahu menggunakan perkhidmatan bas percuma di bandar Seremban itu termasuk warga asing.
“Kita perlu lihat dulu bagaimana kesesuaian, keperluan perkhidmatan bas tersebut dan sekiranya kita tetapkan peraturan awal tanpa kajian terlebih dahulu ia boleh menimbulkan permasalahan pada kemudian hari
“Kita berharap warga tempatan akan menggunakan perkhidmatan tersebut sepenuhnya khusus pada hari Isnin hingga Sabtu,” katanya.
Perkhidmatan bas percuma di Bandar Seremban yang bermula semalam akan melalui KM Plaza, Pejabat Pos Seremban Utara, Pasar Besar Seremban, Haji Shariff Cendol, Wisma Negeri, Majlis Perbandaran Seremban, KWSP Seremban, Hospital Tuanku Jaafar, Klinik Kesihatan Seremban dan KTM Seremban dari tempoh 5.45 pagi hingga 8.45 malam dengan kekerapan perjalanan adalah selama setengah jam untuk sampai ke setiap hentian.
Pada majlis itu juga, seramai 25 orang menerima pangkat Pertahanan Awam manakala 27 orang penerima pingat Pertahanan Awam di mana Aminuddin turut menerima pangkat Pesuruhjaya Kehormat (PA) Pertahanan Awam bersempena Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam Ke-67.