Ekzos ‘aftermarket’ tetap satu kesalahan walau paras bunyi lepas ujian JAS – Polis

Ekzos ‘aftermarket’ tetap satu kesalahan walau paras bunyi lepas ujian JAS – Polis

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa penggunaan semua ekzos “aftermarket” (bukan daripada pengeluar asal) adalah salah di sisi undang-undang.

Kata JSPT dalam jawapan bertulis kepada Malaysiakini, setiap pengubahsuaian kenderaan termasuk ekzos adalah tertakluk kepada peruntukan di bawah Kaedah 9A LN 170/59 – Kaedah-kaedah kenderaan bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959.

Pengubahsuai itu haruslah terlebih dahulu mendapat kelulusan daripada ketua pengarah Jabatan Pengankutan Jalan (JPJ).

JSPT merujuk Seksyen 6(4) Akta Pengangkutan Jalan 1987, berbunyi:

“Tertakluk kepada seksyen ini, adalah tidak sah di sisi undang-undang untuk mengubah sesuatu kenderaan motor hingga menjadikan sebegitu keadaannya yang mana penggunaannya dalam keadaan tersebut menjadi tidak sah di sisi undang-undang menurut seksyen ini.”

Seksyen 6 akta itu menggariskan mengenai “larangan bagi kenderaan-kenderaan motor yang tidak mematuhi kaedah-kaedah”.

Kaedah yang dimaksudkan dalam seksyen berkenaan ialah Kaedah 9A LN 170/59 – Kaedah-kaedah kenderaan bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959 di mana setiap pembinaan kenderaan motor hendaklah terlebih dahulu mendapat kelulusan daripada Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Berdasarkan peraturan tersebut, kata JSPT, penggunaan ekzos aftermarket adalah salah kerana dianggap mengubah suai tanpa mendapat kelulusan ketua pengarah JPJ.

Oleh hal yang demikian, JSPT mengesahkan bahawa semua ekzos yang bukan daripada pengeluar asal, tidak boleh digunakan.

JSPT diminta mengulas mengenai satu hantaran tular di Facebook.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/568232