Editor Meja Mandarin RTM dipanggil beri penjelasan gelar Hamas militan

Editor Meja Mandarin RTM dipanggil beri penjelasan gelar Hamas militan

Editor Meja Mandarin dan Ketua Editor Berita Mandarin TV2, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dipanggil memberikan penjelasan berhubung penggunaan istilah merujuk kepada kumpulan Hamas berkaitan serangan udara Israel terhadap Palestin, semalam.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau mengarahkan siasatan dan tindakan lanjut diambil dan meminta mereka yang terlibat menyediakan laporan lengkap.

Menurut beliau, pegawai terlibat juga dikenakan Surat Tunjuk Sebab (STS) dan siasatan lanjut sedang dilaksanakan pihak pengurusan.

“Permohonan maaf secara terbuka dalam siaran berita untuk pembetulan telah disiarkan dalam Berita Tengah Hari pada pukul 1.00 tengah hari dan Berita Mandarin pada pukul 7.00 malam, hari yang sama semalam.

“Seksyen Berita Hal Ehwal Semasa telah diminta mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) tugasan Bilik Berita, khususnya dalam penyuntingan dan penerbitan berita TV untuk memastikan kesilapan serupa tidak berulang pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin pada masa sama menegaskan, RTM peka tentang situasi yang berlaku dan sentiasa teguh menyokong pendirian Malaysia dan aspirasi rakyat berhubung konflik yang melanda dan mendukung kedaulatan serta kebebasan Palestin.

Katanya, RTM akan terus berusaha dalam menambah baik kualiti penyampaian berita dari semasa ke semasa.

Semalam, tular di media sosial mengenai laporan berita di siaran TV berbahasa Mandarin yang menggunakan istilah militan sebagai merujuk kepada kumpulan pejuang Palestin iaitu Hamas.

Berita penuh : https://www.utusan.com.my/berita/2021/05/gelar-hamas-kumpulan-militan-editor-meja-mandarin-tv2-rtm-dipanggil-beri-penjelasan/