Duta Khas janganlah duduk diam sahaja ketika banyak negara Islam mula iktiraf Israel

Duta Khas janganlah duduk diam sahaja ketika banyak negara Islam mula iktiraf Israel

Malaysia mesti menghentikan pengiktirafan negara ummat Islam terhadap Israel.

Satu demi satu negara-negara Arab telah mengiktiraf kewujudan negara Israel yang dibina di atas rampasan tanah-tanah rakyat Palestin dengan menghalau penduduk penduduk asal di situ.

Negara-negara monarki seperti UAE, Arab Saudi, Bahrain, Morocco, Jordan dan negara-negara yang lain termasuk Mesir mengiktiraf kewujudan Israel. Bahkan inteligensia Israel bekerjasama dengan Amerika Syarikat dan negara-negara Arab untuk mengebom negara negara yang tidak mengiktiraf Israel seperti Iran, Iraq, Syria dan Lubnan.

Mereka semakin ganas membunuh tokoh tokoh dan bijak pandai seperti saintis sebagaimana pembunuhan Qassim Sulaymeni dan ketua saintis Iran baru-baru ini. Ia perbuatan yang sangat terkutuk membunuh cerdik pandai lawan apabila mereka gagal menyaingi kepintaran dan penghasilan kajian sains dan teknologi milik saintis saintis tersebut.

Oleh itu, kita harap Duta Khas Malaysia ke Timur Tengah yang bertaraf Menteri mesti bekerja keras melalui OIC supaya negara-negara Islam dan negara dunia ketiga terus tidak mengiktiraf Israel dan berusaha membantu Palestin untuk membebaskan bumi mereka dan mengembalikan pelarian Palestin ke tanah air mereka.

Duta Khas Malaysia ke Timur Tengah yang bertaraf Menteri tersebut janganlah duduk diam sahaja melihat keadaan yang berlaku sekarang ini dengan kerjanya hanya pergi ke rumah Tan Sri Muhyiddin, Dato’ Seri Najib dan Dato’ Seri Zahid Hamidi. Itu sahaja perundingan-perundingan yang dilakukan. Sedangkan negara orang Islam sedang kucar kacir dan semakin galak mengiktiraf kewujudan Israel.

Kita harap Malaysia tidak mengikut jejak langkah negara-negara Arab tersebut.

Mohamad bin Sabu
Presiden
Parti Amanah Negara

Sumber :